OpenAI hari ini memperkenalkan model dengan kemampuan nalar terbaru oleh mereka, iaitu model o3 dan juga o4-mini. Dengan penawaran ini, ia memposisikan model o3 sebagai model dengan kemampuan nalar yang paling berkuasa oleh OpenAI setakat ini, sementara o4-mini adalah model yang menawarkan hasil lebih baik pada harga rendah untuk para pembangun.
Dengan kemampuan nalar, model-model ini akan melakukan beberapa langkah pemikiran dalam menjawab atau menyelesaikan sesuatu perkara, sekaligus memastikan jawapan atau hasil akhir yang diberikan adalah terbaik. Ini juga sangat berguna dalam menjawab beberapa konteks persoalan, termasuk melibatkan matematik, sains, kajian dan sebagainya. Sokongan model ini juga adalah lebih baik untuk penggunaan pengaturcaraan.
Selain secara teks, model o3 dan juga o4-mini juga menawarkan sokongan kebolehan menganalisa gambar yang dimuat-naik ke mereka, sekaligus memudahkan analisa seperti sesuatu diagram, carta aliran, graf, dan sebagainya.
Dengan pengenalan ini, para pengguna berbayar ChatGPT sudah boleh mengakses model o3 dan juga o4-mini bermula hari ini. Bergerak kehadapan, OpenAI sedia menyatakan hasrat untuk mengintegrasikan semua model berbeza dibawah satu, bermula pengenalan GPT-5 kelak.