TikTok Footnotes diumumkan hari ini dengan ia adalah ciri yang membenarkan ahli komuniti meletakkan nota yang memberikan konteks lebih jelas pada kandungan yang dimuat naik. Menerusi Footnotes, sebarang kekeliruan atau kesilapan fakta boleh dijelaskan sendiri oleh pengguna lain dengan terdapat ciri undian sebelum ia diluluskan oleh platform.

Ini ialah ciri yang mirip dengan Community Notes yang digunakan di platform X. Untuk menyumbang kepada Footnotes, akaun pengguna perlu sekurang-kurangnya berusia 6 bulan, pemilik akaun berusia lebih 18 tahun dan tidak mempunyai rekod melanggar garis panduan komuniti TikTok sebelum ini.
Pendaftaran telahpun dibuka untuk pengguna di Amerika Syarikat terlebih dahulu dengan Footnotes akan diaktifkan dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Selain menggunakan bantuan komuniti, TikTok meneruskan kerjasama dengan organisasi yang diiktiraf Rangkaian Penyemakan Fakta Antarabangsa (IFCN) bagi memastikan ketepatan kandungan TikTok di 130 pasaran dan dalam 60 bahasa.