Pandang Pertama Infinix Note50 Pro+ 5G – Kini Lebih Menarik
Amy Maizuraa
Infinix Note50 Pro+ 5G akan ke pasaran Malaysia pada 22 April 2025. Telefon pintar ini dijangka menarik perhatian ramai dengan ciri-ciri terbaharunya. Saya berpeluang untuk melihat peranti ini lebih awal, dan berkongsi pandangan awal mengenainya.

Walaupun maklumat yang dapat dikongsikan ini mungkin tidak menyeluruh, tetapi ia dirasakan sedikit sebanyak boleh memberi gambaran awal kepada umum mengenai tawaran menarik yang ada pada peranti Note 50 Pro+ 5G.
Apa Dalam Kotak?
Dari segi bungkusan, ia kelihatan menarik dengan elemen permainan di mana salah satu watak daripada Mobile Legends digunakan sebagai hiasan. Bagaimanapun, reka bentuk tersebut hanyalah hiasan luaran kerana di dalamnya terdapat satu lagi kotak dengan penjenamaan Note 50 Pro+ 5G.

Apabila dibuka, terdapat satu kotak tambahan yang mengandungi kerangka peranti, manual pengguna, jaminan waranti, serta kad VIP. Selain itu, telefon pintar itu sendiri berada di dalam kotak tersebut dan saya menerima Note50 Pro+ 5G dalam warna ungu gelap. Menariknya, kerangka telefon turut hadir dalam warna yang sama serta sesuai digunakan bersama MagSafe. Selain itu, kotak juga disertakan dengan kepala pengecas dan kabel yang melengkapkan lagi pakej pembelian dengan aksesori diperlukan pengguna.
Seperkara yang menarik perhatian ialah Infinix turut menyediakan pelindung skrin secara berasingan. Ini bermakna pengguna perlu melekatkannya sendiri ikut keperluan masing-masing. Saya menyarankan agar pelindung skrin ini dipasang terlebih dahulu kerana ia boleh menjadi ciri tambahan berguna untuk melindungi calar sepanjang kegunaan harian.
Reka Bentuk Dan Skrin
Note 50 Pro+ 5G merupakan salah satu model terkini daripada jenama Infinix yang hadir dengan kemaskini menarik. Dalam pandangan awal ini, saya menyukai keseluruhan reka bentuk peranti ini. Ia sepenuhnya rata sama ada pada bahagian hadapan, belakang mahupun bingkai sisi. Pujian turut boleh diberikan kepada Infinix yang mampu menghasilkan binaan yang terasa premium sebegini.

Peranti ini terasa agak berat sewaktu dipegang tetapi tidaklah sehingga menyusahkan. Malahan memegang Note 50 Pro+ 5G memberikan pengalaman seolah-olah memegang sebuah peranti mercu daripada jenama-jenama terkemuka. Reka bentuknya yang premium, berat yang terasa baik serta kemasan yang padat memberikan rasa eksklusif yang jarang boleh ditemui dalam peranti sekelasnya.

Sejujurnya, sudah lama saya tidak membuat ulasan tentang peranti Infinix. Model terakhir yang pernah saya cuba ialah Infinix Note 2023, dan apabila diberi peluang untuk mencubanya kali ini pengalaman yang dirasai ternyata jauh berbeza. Perubahan ini jelas menunjukkan bahawa Infinix kini bukan lagi jenama kecil yang saya kenal dahulu tetapi semakin menyerlah dengan kualiti dan tawaran yang lebih baik.
Inifinix juga sebenarnya mempunyai pengaruh yang kuat tertutamanya bagi mereka yang mencari keseimbangan antara prestasi dan kos harga. Dengan pelbagai model yang menawarkan spesifikasi menarik seperti kamera berkualiti, bateri tahan lama, dan rekaan moden pada harga mampu milik, ia menjadi jenama yang menarik perhatian ramai. Selain itu, Infinix juga semakin menunjukkan inovasi dalam teknologi mereka menjadikannya jenama yang perlu diberi perhatian.

Namun, Infinix masih mempunyai kelemahan dari segi kemaskini perisian. Jika kemaskini perisian menjadi keutamaan, maka dirasakan untuk pertimbangkan penawaran daripada jenama yang lebih konsisten dari segi sokongan tersebut.

Note50 Pro+ 5G kali ini hadir dengan binaan berasaskan logam yang memberikan rasa lebih kukuh apabila dipegang. Pengalaman awal menggunakannnya juga terasa baik, dan ketahanan bahan digunakan juga menjadikan ia terasa selesa di tangan. Saya turut membawanya sepanjang lawatan kerja di China, dan akui terasa baik tanpa memberi sebarang isu yang melampau.

Sebelah kanan peranti menempatkan butang kuasa, yang turut berfungsi sebagai One-Tap Query yang disokong oleh DeepSeek R1. Benar, anda tidak salah baca kerana Note50 Pro+ 5G hadir dengan sokongan terbina untuk DeepSeek R1. Ia boleh diaktifkan dengan menekan butang kuasa untuk beberapa saat sebelum mengajukan soalan yang ingin ditanya.
Dalam ujian ringkas yang saya lakukan, sistem ini berfungsi dengan baik termasuk ketika digunakan dalam Bahasa melayu. Jawapan yang diberikan dilihat realistik, dan disertakan dengan beberapa sumber daripada pelbagai pihak. Bagaimaapun, sambungan internet diperlukan untuk menggunakan ciri ini. Butang laras audio pula terletak di bahagian kiri dalam posisi yang mudah diakses.


Dari segi bunyi, peranti dilengkapi dengan sistem audio stereo JBL, yang sepatutnya mampu memberi pengalaman audio lebih baik. Selain itu, pemancar merah juga disertakan di bahagian atas peranti. Bahagian bawah turut terdapatnya satu lagi pembesar suara, serta slot dwi SIM-Nano.

Skrin telefon ini bersaiz 6.78-inci dengan resolusi FHD+ untuk paparan kandungan yang jelas. Selain itu, skrin AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz juga disertakan untuk memastikan peralihan animasi yang responsif. Peranti juga menyokong pengimbas cap jari dalam skrin, serta fungsi imbasan wajah bagi keselamatan tambahan. Ia turut melepasi penarafan IP64, yang bermakna kalis terhadap air dan habuk.
Perkakasan Dan Perisian
Dari segi perkakasan, saya tidak dapat berkongsi maklumat mengenai cip pemproses yang digunakan buat masa ini. Namun, saya akan membahakan dengan lebih lanjut dalam artikel ulasan yang akan datang. Beralih kepada aspek memori dan storan, peranti ini hadir dengan pilihan memori sehingga 12GB RAM, serta storan dalaman 256GB, yang disertakan juga dengan RAM Maya sehingga 12GB RAM. Ia boleh diubah secara manual mengikut penggunaan masing-masing.

Selain itu, peranti menjalankan perisian XOS 15 berasaskan Android 15, serta ciri berasaskan AI seperti Folax, yang boleh bantu dalam pengecaman kandungan skrin, terjemahan bahasa, memadam objek dalam gambar, AI Gaming with XBoost, dan banyak lagi. Ia juga mempunyai Bio-Active Halo AI Lighting yang menawarkan beberapa fungsi seperti notifikasi, panggilan masuk, menyeru pembantu maya, serta pengecasan pada peranti. Fungsi tersebut turut boleh digunakan untuk memantau kadar degupan jantung, dan tahap oksigen dalam darah.
Bateri Dan Pengecasan

Peranti ini memuatkan bateri berkapasiti 5,200mAh, serta pengecasan pantas berwayar 100W. Dalam pada itu, ia turut menyokong pengecasan nirwayar 50W, di samping menyokong Bypass Charging bermaksud tenaga daripada pengecas dihantar terus ke sistem telefon tanpa melalui bateri terlebih dahulu. Seperti dinyatakan sebelum ini, kepala pengecas bersama kabel disediakan dalam kotak pembelian.
Kesimpulan

Infinix kini jauh berbeza daripada sebelumnya. Note50 Pro+ 5G hadir dengan peningkatan menarik dan ciri-ciri yang lebih baik. Dari jenis binaan hingga perkakasan, setiap aspek peranti ini menunjukkan peningkatan yang semakin baik bagi tujuan memberikan pengalaman yang baik buat pengguna. Untuk pengalaman prestasi menyeluruh termasuk hasil gambar daripada peranti, nantikan artikel ulasan penuh saya dalam masa terdekat.