Apabila membeli peranti terdapat beberapa faktor diambil kira seperti prestasi peranti, kemampuan kamera dan tahap kemampuan kalis air. Tetapi kesemua maklumat ini sedikit tersorok dan hanya boleh ditemukan di laman web. Bagi memudahkan pengguna melakukan pilihan pembelian di negara Kesatuan Eropah (EU), sebuah label perlu diletakkan pada semua peranti pintar

Selain itu telefon nirkabel, telefon satelit, telefon selular biasa dan tablet dengan skrin antara 7″-17″ turut diwajibkan hadir dengan label yang sama.
Label Pendaftaran Produk Eropah untuk Pelabelan Tenaga (EPREL) akan memberikan maklumat tahap kecekapan penggunaan tenaga dengan gred A ke G, tahap ketahanan bateri dengan sekali caj, jumlah kitaran pengecasan bateri, tahap ketahanan hentakan apabila terjatuh, tahap kemudahan untuk dibaiki, dan tahap ketahanan kalis air serta debu.
Kesemua maklumat ini perlu diletakkan pada kotak peranti yang dijual bermula 20 Jun depan. Label yang sama sudahpun digunakan pada produk seperti lampu LED, peti sejuk dan penyaman udara di EU sejak 1994.
Apa yang biasanya berlaku ialah EU akan memulakan trend yang kemudiannya digunapakai oleh pasaran lain. Misalnya EU mewajibkan terlebih dahulu penggunaan kabel USB-C untuk pengecasan sebelum ia kini menjadi piawaian standard global/