Carian
ADATA Memperkenalkan Storan Kad SD Express 8.0 Pertama Dengan Kadar Penghantaran Data Setinggi 1.6GB/s
April 21, 2025 Nazrin

Storan jenis SD Express memperlihatkan peningkatan dalam minat kebelakangan ini, dimana kami telah melaporkan pada minggu lepas bahawa kad-kad MicroSD Express kini sedang laris di Jepun kerana mahu bersedia untuk pelancaran konsol Nintendo Switch 2 yang akan dilancarkan pada bulan Mac ini.

Kelebihan storan SD Express ialah ia dilihat hadir dengan kadar penghantaran dan pembacaan data yang pantas, dan juga menyokong saiz storan yang lebih besar. Terkini, ADATA telah memperkenalkan penawaran SD Express pertama mereka, iaitu ADATA Premier Extreme SD 8.0 yang hadir dengan piawaian SD Express 8.0.

Secara teorinya, kad dengan pengesahan piawaian SD Express 8.0 hadir dengan kadar pembacaan data 4GB/s, tetapi dengan penawaran ADATA, mereka mengatakan bahawa kad SD Express mereka mampu memperlihatkan kadar pembacaan data 1.6GB/s dan kadar penulisan data 1.2GB/s.

Walaupun begitu, kadar pembacaan dan penulisan data ini dilihat hanya boleh berlaku dalam masa yang singkat sahaja, dan kerana kad SD Express ini masih lagi memperlihatkan peniliaian U30 dan V30, ia masih lagi hadir dengan kadar penghantaran data secara berterusan setinggi 30MB/s sahaja.

Jika anda berminat untuk mendapatkan kad SD atau MicroSD Express yang mempunyai kadar penghantaran data yang lebih tinggi secara berterusan, anda akan mahu mencari kad yang mempunyai penilaian berhuruf “E” dengan angka dibelakangnya. Sebagai contoh yang diberikan, kad SD Express dengan penilaian E150 bermakna bahawa storan tersebut mempunyai kadar penghantaran data sepantas 150MB/s.

Ia dijangka bahawa ADATA akan memperlihatkan butiran lebih lanjut mengenai storan SD Express mereka di acara Computex Taipei yang akan berlangsung pada penghujung bulan Mei kelak.

Komen