Carian
Google Photos Menguji Ciri Menaiktaraf Gambar Diambil Ke Ultra HDR
April 21, 2025 Nazrin

Apabila ia diperkenalkan, Google Photos merupakan satu lokasi yang membolehkan pengguna untuk menyimpan gambar-gambar yang diambil dengan cepat dan mudah secara atas talian. Google kemudiannya menambah ciri-ciri lain, seperti kebolehan untuk menyunting gambar secara terus melalui pelayar web ataupun aplikasi Google Photos sendiri.

Google Photos juga menyokong pemaparan jenis-jenis gambar berbeza, termasuklah SDR dan HDR bergantung kepada gambar-gambar yang dimuat-naik. Kebelakangan ini, terdapat banyak peranti pintar yang boleh mengambil gambar dalam mod HDR, dan gambar-gambar ini boleh disimpan di Google Photos tanpa masalah.

Tetapi bagaimanakah jika anda mahu menyunting gambar anda yang ditangkap dalam mod SDR ke mod HDR? Google Photos kini dilaporkan sedang menguji sebuah ciri yang boleh mengubah foto-foto biasa yang diambil kepada mod Ultra HDR secara terus melalui aplikasi tersebut.

Ciri ini sedang diuji kepada beberapa pengguna terpilih melalui aplikasi Google Photos versi 7.24.0.747539053. Apabila ciri ini diperkenalkan, ia akan menggantikan fungsi HDR Effect dibawah menu Adjust, dan sama seperti HDR Effect, anda boleh mengubahsuai tahap Ultra HDR dengan butang peluncur.

Ciri ini akan membolehkan orang ramai untuk mengubahsuai gambar-gambar yang diambil dengan kamera peranti pintar biasa ke mod HDR dengan cepat dan mudah. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah Google akan memperkenalkan ciri ini secara lebih meluas.

Komen