Tahun ini, Intel telah melancarkan kad grafik Intel Arc B580 mereka pada tahun ini sebagai pilihan alternatif kepada mereka yang mahukan sebuah kad grafik kelas pertengahan yang mampu milik, tetapi masih boleh menggerakkan pelbagai permainan-permainan moden, tetapi tidak mahu membelanjakan begitu banyak wang.

Intel Arc B580 hadir dengan 12GB memori GDDR6 dan menggunakan cip grafik Xe2 terbaru yang dilihat mencukupi untuk memainkan pelbagai permainan hari ini, tetapi kini terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa Intel akan mula memperkenalkan kad grafik Battlemage yang mempunyai memori sebanyak 24GB tidak lama lagi.

Ura-ura ini mungkin bukan sesuatu yang baru, tetapi Sparkle, sebuah jenama pembuat komponen komputer di China yang membina kad grafik Intel Arc telah mengesahkan ura-ura ini, malah menjawab pertanyaan syarikat lain bahawa Intel sepatutnya memperkenalkan penawaran ini sekitar bulan Mei ataupun Jun pada tahun ini.
Walaupun perkara ini adalah benar, ia tidak diketahui lagi jika kad grafik ini adalah untuk pengguna, ataupun golongan profesional. Perlu diingatkan bahawa Intel juga mempunyai kad grafik Intel Arc Pro untuk golongan tersebut, jadi ada kemungkinan bahawa Intel akan memperkenalkan versi Intel Arc Battlemage untuk siri kad grafik ini tidak lama lagi.