Infinix Note 50 Pro+ dilihat tampil menyerlah sebagai peranti yang seimbang dari aspek prestasi, rekaan dan teknologi bateri. Dengan ciri-ciri menarik seperti skrin AMOLED bersaiz besar, kamera berkualiti tinggi, prestasi memuaskan, serta bateri yang tahan lama. Ia direka untuk memenuhi pelbagai keperluan pengguna sama ada untuk tugasan kerja, permua, atau kegunaan harian. Untuk mengetahui lebih lanjut teruskan membaca ulasan ini.

Spesifikasi Dan Penggunaan
Infinix Note50 Pro+ 5G | |
---|---|
Skrin | AMOLED,144Hz, 1300 nits 6.78-inci, 1080 x 2436 pixels (~393 ppi) |
Pemproses | Mediatek Dimensity 8350 (4 nm) |
Cip | 1×3.35 GHz Cortex-A715 3×3.20 GHz Cortex-A715 4×2.20 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | AMali G615-MC6 |
RAM | 12GB RAM |
Muatan Dalaman | 256GB (tiada kad mikroSD) |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.9 (lebar), OIS 50 MP, f/2.4, (telefoto), OIS 8 MP, f/2.2, (ultra-lebar) 4K@30/60fps |
Kamera Depan | 32 MP, f/2.2, (lebar) 4K@30fps |
Bateri | SSi/C Li-Ion 5200 mAh 100W Wired 50W Wireless MagCharge 10W Reverse Wired 7.5w Reverse Wireless Bypass Charging |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | IP64 |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
Harga Jualan | RM1,599 |
Dari segi rekaan, Infinix Note50 Pro+ menawarkan perubahan ketara berbanding generasi sebelum ini iaitu siri Infinix Note 40. Jika sebelum ini, siri Note40 menampilkan rekaan tubuh melengkung yang biasa tetapi InfiniX kini membawa perubahan yang besar. Telefon ini menggunakan binaan bingkai berasaskan Armor Alloy Metal iaitu sejenis bahan premium yang buat pertama kali digunakan dalam siri Note.

Penggunaan bahan berkualiti tinggi ini bukan sahaja memberikan rasa yang lebih solid tetapi turut menjadikan telefon kelihatan lebih premium. Pengalaman memegangnya juga membawa keunikan tersendiri yang menggabungkan reka bentuk menarik dengan ketahanan yang lebih lasak. Binaan telefon ini turut dilengkapi dengan panel belakang plastik yang licin.
Namun begitu, ia tidak menimbulkan sebarang keadaan tidak selesa, malah kelihatan mewah dengan sentuhan premium. Sepanjang ulasan ini, sukar untuk saya percaya bahawa telefon ini berada dalam kategori harga berpatutan kerana ia memberikan pengalaman seolah-olah menggunakan sebuah telefon flagship daripada jenama terkemuka.

Telefon ini juga sepenuhnya rata pada bahagian hadapan, belakang, dan bingkai tepi. Namun begitu, ia masih dilengkapi dengan sudut sisi yang melengkung untuk memastikan keselesaan semasa dipegang, tanpa menimbulkan rasa tidak selesa walaupun dalam tempoh penggunaan yang lama.
Dari segi pilihan warna, telefon ini menawarkan variasi yang menarik termasuk Enchanted Purple dengan rona ungu gelap yang dipadankan dengan kemasan menyerupai tekstur pasir. Gabungan warna dan kemasan ini memberikan gaya yang elegan dan menonjol, namun tetap kelihatan sederhana tanpa berlebihan.


Penarafan kalis air pada telefon ini telah dipertingkatkan kepada IP64 berbanding IP54 pada model sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa telefon ini mampu menahan percikan air dan hujan. Namun begitu, pengguna dinasihatkan untuk berhati-hati kerana telefon ini tidak direka untuk direndam ke dalam air. Sekiranya terkena air, adalah disarankan untuk segera mengeringkannya bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Bonggol kamera pada telefon ini telah direka semula dalam bentuk oktagon yang panjang yang dilihat memberikan kelainan berbanding telefon lain di pasaran. Lebih menarik lagi, bonggol tersebut turut memuatkan lampu Bio-Active Halo. Lampu ini bukan sekadar lampu notifikasi biasa, tetapi dilengkapi dengan fungsi tambahan untuk memantau kadar degupan jantung menggunakan teknologi AI.

Dalam perbandingan yang saya lakukan dengan Apple Watch, walaupun bacaan tidak sepenuhnya sama tetapi jurang purata antara kedua-duanya adalah kecil. Walaupun teknologi seperti ini pernah diperkenalkan oleh jenama besar seperti Samsung dan Realme, kehadirannya dalam siri Infinix Note adalah sesuatu yang baharu dan menunjukkan komitmen Infinix terhadap pengguna mereka.
Skrin yang disediakan pada peranti ini juga menjadikannya pilihan yang sesuai untuk pelbagai jenis penggunaan. Telefon ini dilengkapi dengan skrin AMOLED bersaiz 6.78-inci yang cukup besar, menjadikannya sesuai untuk menonton kandungan video, bermain permua, dan melakukan kerja harian.

Teknologi AMOLED pada skrin ini memberikan kualiti paparan yang memuaskan dengan warna yang hidup serta kontras yang tinggi. Selain itu, ia dipadankan dengan resolusi FHD+ dengan paparan yang terang sama ada digunakan untuk menonton video atau melayari laman web. Ia juga dilengkapi dengan kadar segar semula 144Hz untuk pengalaman tatalan yang lancar, serta sesuai untuk kerja harian yang melibatkan banyak aplikasi.
Perkakasan Dalaman
Telefon ini dilengkapi dengan teknologi DeepSeek R1 yang disokong terbina pada pembantu AI Folax. Kehadiran teknologi ini sangat membantu dalam pelbagai tugas harian saya. Untuk mengaktifkannya, saya hanya perlu menekan lama butang kuasa, dan pembantu pintar ini akan tersedia serta-merta. Ia juga memanfaatkan teknologi AI untuk menyediakan kemudahan yang praktikal dalam pelbagai situasi.
Antara fungsi utamanya termasuklah ringkasan AI, yang mampu meringkaskan kandungan teks panjang secara automatik. Selain itu, terdapat terjemahan masa nyata, di mana kamera telefon boleh digunakan untuk menterjemah teks secara langsung. Ia juga menyediakan fungsi penulisan AI yang membolehkan saya menghasilkan kapsyen atau siaran di media sosial dengan mudah tanpa perlu beralih aplikasi.


Selain itu, Folax turut mampu memberikan jawapan yang realistik kepada soalan-soalan yang diajukan. Berdasarkan cubaan dalam Bahasa Melayu, jawapan yang diberikan kelihatan realistik serta lengkap dengan beberapa sumber berguna yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan rujukan.
Telefon ini dikuasai oleh cip Mediatek Dimensity 8350 Ultimate, yang menurut Infinix mampu memberikan prestasi cukup baik untuk kerja multitasking dan permainan. Pilihan memori ditawarkan pula sebesar 12GB RAM bersama storan dalaman 256GB, serta sokongan RAM maya sehingga 12GB RAM untuk meningkatkan prestasi peranti.

Dari segi prestasi, sebahagian besar aktiviti harian dapat dijalankan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Aktiviti seperti menatal media sosial, mengambil gambar, dan mendengar muzik melalui aplikasi Spotify dapat dilakukan dengan mudah.
Bagaimanapun, perlu diakui bahawa kebanyakan telefon moden kini dilengkapi dengan spesifikasi yang cukup baik untuk mengendalikan tugas-tugas harian. Oleh itu, pemilihan telefon masa kini lebih bergantung kepada keutamaan pengguna, sama ada dari segi rekaan, ciri tambahan, atau spesifikasi yang sesuai dengan gaya penggunaan masing-masing.
AnTuTu 3D
Cip Pemprosesan | Skor |
Mediatek Dimensity 8350 Ultimate | 134,2085 |
Snapdragon 7s Gen 3 | 788,110 |
Mediatek Dimensity 8400 Ultra | 686,014 |
Mediatek Dimensity 8350 | 115,0560 |
Geekbench 6
Cip Pemprosesan | Skor |
Mediatek Dimensity 8350 Ultimate | 1091/3474 |
Snapdragon 7s Gen 3 | 1146/3123 |
Mediatek Dimensity 8400 Ultra | 1026/2936 |
Mediatek Dimensity 8350 | 1319/4143 |
3DMark Wildlife Extreme
Cip Pemprosesan | Skor |
Mediatek Dimensity 8350 Ultimate | 2,480 |
Snapdragon 7s Gen 3 | 5,334 |
Mediatek Dimensity 8400 Ultra | 850 |
Mediatek Dimensity 8350 | 2,880 |
Prestasi permainan menggunakan peranti ini memberikan pengalaman yang baik dan memuaskan untuk segmennya. Sebagai contoh, permainan Honor of Kings (HOK) dapat dimainkan pada kadar 60FPS yang stabil apabila Performance Mode diaktifkan. Walaupun terdapat sedikit penurunan kepada sekitar 55-58FPS, ia tidak menjejaskan pengalaman permainan secara ketara.

Dengan tetapan grafik Ultra, peranti ini mampu mencapai kadar 120FPS ketika bermain Mobile Legends: Bang Bang (MLBB). Walaupun terdapat ketidakstabilan dalam bacaan tersebut, setiap pergerakan dalam permainan termasuk situasi clash semasa team fight, tetap terasa sangat responsif. Bagi permainan berat seperti Genshin Impact yang terkenal dengan grafik tinggi, peranti ini mampu mengendalikan permainan pada kadar 30FPS dengan paparan grafik yang kelihatan kemas.

Dari segi suhu, peranti ini mampu mengekalkan tahap suhu yang suam semasa sesi permainan biasa. Bagaimanapun, apabila menjalankan aplikasi berat seperti ujian penanda aras yang memerlukan prestasi maksimum daripada perkakasan, suhu peranti boleh meningkat dengan ketara.
Perisian Dalaman
Dari segi perisian, Note 50 Pro Plus+ menggunakan XOS 15 berasaskan Android 15 dengan antaramuka yang minimalis. Ketika pertama kali membuka telefon, terdapat elemen reka bentuk yang memberikan pengalaman seakan-akan iOS, terutamanya pada bahagian panel pemberitahuan. Susunan dalam sistem juga telah disusun dengan kemas, yang menjadikannya mudah untuk dikendalikan tanpa menimbulkan rasa serabut. Meskipun rekaan perisian ini mengutamakan konsep minimalis, ia disertakan dengan sentuhan yang menarik, dan menampilkan elemen moden dalam antaramuka yang menarik.


Kamera Dan Kualiti Gambar
Note50 Pro Plus dilengkapi dengan sistem tri-kamera. Sensor utama 50MP menggunakan sensor Sony IMX896 bersama OIS. Ia juga mempunyai kamera telefoto 50MP dengan kemampuan zum optikal 3X dan ultra-lebar 8MP untuk tangkapan bersudut luas. Kamera hadapan 32MP bagi memastikan gambar swafoto boleh diambil dengan penuh perincian. Rakaman video boleh dilakukan sehingga resolusi 4K pada 60FPS yang lengkap dengan penstabilan terbina.

Kamera pada telefon ini juga menawarkan pelbagai mod menarik dengan kelebihan tersendiri untuk memenuhi keperluan fotografi pengguna. Antaranya seperti Main Camera Mode (AI CAM). Mod ini boleh menghasilkan warna yang kelihatan natural dan realistik. Untuk hasil terbaik, anda disarankan untuk mengambil gambar dalam cahaya matahari terang kerana dynamic range menjadi lebih seimbang.








Dengan sensor 50MP, gambar yang dihasilkan cukup tajam. Namun, kemampuan zoom menjadi terhad apabila lebih daripada separuh julat maksimum (contohnya, pada 50x), di mana kualiti gambar mulai menurun dan tidak setanding dengan sistem zoom pada jenama seperti Samsung.
Seterusnya ialah mod Sky Shop, yang menawarkan ciri kreatif untuk mengubah langit dalam gambar. Walaupun terdapat banyak pilihan yang tersedia, kadangkala hasilnya kelihatan seperti tempelan, terutama apabila objek di bahagian latar depan seperti bukit atau bangunan tidak dipisahkan dengan sempurna daripada latar belakang. Bagaimanapun, fungsi ini boleh menjadi ruang untuk pengguna bereksperimen khususnya bagi mereka yang kreatif.



AICGM Mode pula memanfaatkan teknologi AI untuk menghasilkan kesan khusus pada gambar. Hanya terdapat empat penapis AI yang tersedia tetapi prestasinya sederhana dalam mengesan wajah subjek, dengan hasil muka AI yang hampir serupa dengan wajah subjek sebenar untuk keadaan tertentu. Ia juga sesuai digunakan sekali-sekala terutamanya untuk gambar potret. Jika anda pernah menggunakan AI Studio pada peranti Oppo, pengalaman yang ditawarkan oleh mod ini mempunyai pengalaman yang serupa.


Mod Street Snap menawarkan beberapa pilihan penapis seperti vintage dan hitam-putih yang boleh memberikan gaya unik serta klasik pada gambar. Penapis vintage menghasilkan efek yang menarik, manakala pilihan hitam-putih memberikan hasil klasik yang sesuai untuk peminat fotografi jalanan. Jika anda merasakan gambar yang dihasilkan oleh AI Cam kurang menarik, mod ini boleh dijadikan alternatif yang sesuai.










Akhir sekali ialah mod Super Night, ia tidak menawarkan ciri tambahan yang menarik, tetapi berfungsi untuk meningkatkan warna dalam gambar agar kelihatan lebih terang. Bagaimanapun, pengalaman mengambil gambar malam menggunakan AI Cam sebenarnya sudah memadai untuk mendapatkan hasil yang baik.


Bateri Dan Pengecasan
Infinix Note 50 Pro+ dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5200 mAh. Selain itu, telefon ini menyokong fast charging 100W dengan beberapa mod pengecasan yang disesuaikan untuk kemudahan pengguna berdasarkan situasi dan keutamaan mereka.

Pertama sekali ialah Low-Temp Mode, yang direka khas untuk memastikan suhu bateri kekal rendah semasa proses pengecasan. Kemudian, Smart Mode pula menawarkan mod neutral yang memberikan keseimbangan antara kelajuan pengecasan dan suhu bateri. Dengan menggunakan mod ini, bateri dapat dicas penuh dalam masa lebih kurang 44 minit di mana sesuai untuk pilihan penggunaan harian.
Akhir sekali ialah Hyper Mode, yang menawarkan pengecasan paling pantas. Dengan menggunakan mod ini, bateri boleh dicas penuh dalam masa hanya 38 minit. Meskipun begitu, saya mendapati bahawa peningkatan suhu peranti yang lebih ketara berlaku semasa pengecasan ini.

Selain pengecasan tadi, telefoni ini juga menyokong Wireless FastCharge 50W yang sesuai dengan MagCharge. Ia turut dilengkapi dengan pengecas dalam kotak, memberikan kemudahan tambahan kepada pengguna. Selain itu, telefon ini menawarkan fungsi reverse charging dan reverse wireless charging, membolehkan pengguna mengecas peranti lain melalui sambungan OTG atau nirwayar.
Untuk pengguna yang gemar bermain permua, telefon ini hadir dengan ciri bypass charging. Teknologi ini memastikan sumber kuasa akan terus dihantar kepada telefon tanpa melalui bateri. Dengan ciri ini, pengguna boleh bermain permainan video sambil mengecas tanpa menyebabkan bateri menjadi terlalu panas.
Pesaing
Infinix Note50 Pro+ 5G | OPPO Reno13 Pro | Samsung Galaxy S24 FE |
6.78″ LTPO AMOLED FHD+ 144Hz | 6.83″ LTPO AMOLED FHD+ 120Hz, HDR10+ | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+ |
Dimensity 8350 (4 nm) 1 x 3.35 GHz Cortex-A715 3 x 3.20 GHz Cortex-A715 4 x 2.20 GHz Cortex-A510 | Dimensity 8350 (4 nm) 1 x 3.35 GHz Cortex-A715 3 x 3.20 GHz Cortex-A715 4 x 2.20 GHz Cortex-A510 | Exynos 2400e (4nm) 1 x 3.11 GHz Cortex-X4 2 x 2.9 GHz Cortex-A720 3 x 2.59 GHz Cortex-A720 4 x 1.95 GHz Cortex-A520 |
Mali G615-MC6 | Mali G615-MC6 | Xclipse 940 |
12GB RAM LPDDR5X | 12GB RAM LPDDR5X | 8GB LPDDR5X |
256GB UFS 4.0 | 512GB UFS 4.0 | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50 MP, f/1.9 (lebar), OIS 50 MP, f/2.4, (telefoto), OIS 8 MP, f/2.2, (ultra-lebar) | Kamera Utama 50 MP, f/1.8 (lebar), OIS 50 MP, f/2.8 (telefoto) 8 MP, f/2.2 (ultra lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 8MP f/2.4 (Periskop Telefoto) |
Kamera Hadapan 32 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 50 MP, f/2.0 | Kamera Hadapan 10MP f/2.4 |
IP64 | IP68/69 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5200 mAh 100W Wired 50W Wireless MagCharge 10W Reverse Wired 7.5w Reverse Wireless Bypass Charging | 5800 mAh Berwayar 80W Nirwayar 50W | 4700 mAh Berwayar 25W Nirwayar 15W |
RM1,599 (12/256GB) | RM2999 (12/512GB) | RM3299 (8/256 GB) RM3899 (8/512 GB) |
Kesimpulan

Secara keseluruhan, telefon ini direka untuk memenuhi keperluan harian dan memberikan pengalaman yang cukup menarik. Dengan ciri-ciri seperti skrin AMOLED yang besar, kamera berkualiti, prestasi memuaskan dan bateri yang tahan lama, ia sesuai untuk pelbagai gaya penggunaan. Pendek kata, gabungan fungsi dan reka bentuk diberikan membuatkan pengalaman penggunaan telefon ini menjadi lebih seronok. Note50 Pro+ 5G boleh dibeli di Malaysia dengan harga jualan RM1599 (12/256GB).
Kelebihan
- Reka bentuk premium dengan bingkai logam.
- Skrin AMOLED 144Hz.
- Prestasi pantas dengan cip MediaTek Dimensity 8350
- Kamera utama 50MP dengan OIS
- Pengecasan pantas termasuk sokongan pengecasan nirwayar.
- Ciri unik sensor nadi & lampu belakang LED untuk notifikasi.
Kekurangan
- Hanya menerima 2 kemas kini OS.
- Tiada slot kad microSD.
- Tiada bicu audio 3.5mm
- Perisian mengandungi aplikasi gendut.
- Saiz besar yang mungkin kurang selesa bagi sesetengah pengguna.
