Carian
YouTube Shopping Kini Di Malaysia – Membolehkan Pautan Beli Barang Ditambah Pada Video
April 22, 2025 Aman

YouTube Malaysia hari ini berkongsi berkenaan pengenalan YouTube Shopping di Malaysia. Ciri ini telah diuji sejak sebulan yang lepas di Malaysia, dan seramai 850 pencipta kandungan telah mencubanya setakat ini. Dengan pengumuman hari ini, lebih ramai penerbit kandungan dijangka menyertainya, dan mempromosikan lebih barangan melalui video terbitan masing-masing di YouTube.

YouTube Shopping merupakan salah satu ciri yang ditawarkan oleh YouTube untuk pencipta kandungan. Melaluinya, pencipta kandungan atau penerbit video pada platform tersebut boleh menambah pautan ke platform edagang, sekaligus menjana pendapatan melalui perkongsian komisen.

Untuk fasa pengenalan ini, YouTube bekerjasama dengan Shopee. Dengan langkah ini, semua penerbit kandungan boleh mendaftar terus melalui platform YouTube, dan seterusnya mula mempromosikan produk melalui video masing-masing. YouTube tidak mengeluarkan komen berkaitan platform edagang lain yang akan disokong oleh mereka pada masa akan datang.

YouTube mengatakan setiap video boleh menyertakan sehingga 60 produk melaluinya. Berbeza dengan sebelum ini, dimana ramai penerbit kandungan menyertakan pautan membeli pada ruangan penerangan, dengan adanya integrasi YouTube Shopping, sebuah butang “Lihat Produk” dipaparkan di atas video, dan pengguna boleh tap untuk membuka senarai barangan yang dipromosikan melalui video tersebut.

Untuk penerbit kandungan juga, anda boleh melihat peratusan komisen yang ditawarkan ketika menambah produk di YouTube Studio untuk sesuatu produk. Pihak YouTube mengatakan bayaran komisen ini akan berlaku antara 60 hari ke 120 hari selepas jualan produk tersebut. Hal ini adalah dalam memastikan tiada kesilapan membayar untuk pembelian yang dikembalikan semula.

Dengan pengenalan ini, kita mungkin melihat lebih banyak video menyertakan produk-produk yang dipautkan terus ke Shopee di YouTube. Untuk pencipta kandungan, anda boleh menyemak integrasi YouTube Shopping ini melalui YouTube Studio hari ini, dan terus memulakan integrasi dan menambah pautan produk melaluinya. Bagi para penjual pula, anda boleh menjual seperti biasa di Shopee, dan menguruskan pembayaran dan penawaran untuk program sekutu (affiliate) di Shopee.

Komen