Insta360 X5 Dilancarkan Dengan Sistem Kanta Boleh Ganti
Amy Maizuraa
Insta360 X5 baru sahaja dilancarkan dengan pelbagai peningkatan menarik. Kamera ini dilengkapi sensor berkembar 1/1.28-inci lebih besar yang direka untuk memberikan kualiti video lebih baik. Ia juga mampu merakam video dalam resolusi 8K/30fps, di samping menyokong mod PureVideo yang direka khas untuk memastikan hasil rakaman yang jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Insta360 X5 juga dilengkapi dengan sistem Triple AI Chip, yang menggabungkan satu cip AI 5nm dan dua cip Pro Imaging. Teknologi ini boleh meningkatkan prestasi kamera sebanyak 140%, bantu mengurangkan hingar dalam gambar, dan menghasilkan imej yang lebih jelas. Ia juga direka untuk memudahkan rakaman 360 darjah dihasilkan untuk pelbagai kegunaan.

Mod HDR kini membolehkan rakaman pada resolusi 5.7K/60FPS dengan kadar bingkai sehingga 60FPS. Selain itu, lensa kamera ini direka untuk lebih tahan lasak dan boleh diganti sepenuhnya menjadikannya lebih sesuai untuk pengguna yang bergerak aktif.
Dengan ciri ini, pengguna boleh menggantikan kanta yang rosak dengan mudah, dan menjadikan peningkatan besar berbanding model X4 yang hanya dilengkapi pelindung lensa tanpa kebolehan ditukar jika berlaku kerosakan.

Insta360 X5 turut memperkenalkan mod InstaFrame baharu yang membolehkan rakaman video sedia untuk dikongsi dengan bingkai automatik, sambil merakam video 360 darjah yang turut boleh disunting kemudian. Aplikasi Insta360 juga kini menawarkan lebih banyak ciri suntingan yang mudah digunakan untuk pengguna melakukan suntingan dengan cepat.

Kamera ini direka dengan ketahanan air sehingga 15 meter (49 kaki) menjadikannya sesuai untuk aktiviti bawah air atau sukan lasak. Ia dilengkapi bateri yang mampu bertahan sehingga tiga jam untuk rakaman video resolusi 5.7K, dan menyokong pengecasan pantas sehingga 80% dalam masa hanya 20 minit melalui USB-C.
Selain itu, sistem audionya dilengkapi teknologi pengurangan bunyi angin bersama sokongan mikrofon nirwayar untuk memudahkan rakaman vlog. Harga jualan Insta360 X5 bermula dari $549.99 (~RM 2,475).