Permainan The Elder Scrolls IV: Oblivion Remastered dilancarkan secara mengejut lewat malam tadi selepas beberapa tangkapan layar tertiris beberapa hari yang lalu. Versi olahan semula ini dibangunkan oleh Virtuos Studio dengan keseluruhan permainan kini menggunakan Unreal Engine 5 bagi memberikan grafik yang setanding dengan permainan generasi semasa.
Selain grafik yang lebih baik, antaramuka serta corak permainan juga diolah semula dengan mengintegrasikan elemen daripada Skyrim. Dengan kata lain ia bukan sekadar permainan lama yang dilancarkan semula dengan perubahan tekstur sahaja tetapi dibangunkan secara keseluruhan untuk mereka yang tidak pernah menikmati permainan ini semasa ia dilancarkan pada tahun 2006.

Menerusi versi remastered ini, dua DLC Shivering Isles dan Knights of the Nine juga turut disertakan sekali bagi memberikan penceritaan lengkap permainan yang menjadi asas kepada Skyrim. Ini ialah masa paling tepat untuk kembali ke Cyrodil dan bertemu Uriel Septim.
The Elder Scrolls IV: Oblivion Remastered boleh dimuat turun hari ini di PlayStation 5, Xbox Series S/X, Steam dan PC dengan ia disertakan sekali dalam Game Pass dalam versi Standard dan Deluxe. Pada waktu ini ia hanya ditawarkan dalam bentuk digital sahaja dan tiada pengumuman untuk Switch 2.