Carian
Kamera Sigma BF Ditawarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM9,688
April 23, 2025 Amy Maizuraa

Sigma BF telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini. Ia merupakan kamera tanpa cermin dengan L-Mount bingkai penuh yang dilengkapi sensor 24MP. Kamera ini hadir dengan reka bentuk minimalis yang memberikan tumpuan kepada fungsi yang lebih baik. Ia juga dilengkapi dengan tiga butang di bahagian belakang untuk kawalan, selain butang pengatup dan butang kuasa.

Sigma BF menampilkan sistem autofokus yang mampu mengenal pasti manusia dan haiwan, menjadikannya kali pertama Sigma menggunakan teknologi pengecaman subjek ini pada kamera mereka. Walau bagaimanapun, kamera ini tidak dilengkapi dengan pengatup mekanikal, sistem penstabil imej, dan tidak sesuai digunakan bersama lampu flash.

Kamera ini hadir dengan memori dalaman sebesar 230GB, yang dikatakan cukup untuk menyimpan sehingga 14,000 gambar dalam format JPEG, 4,300 fail DNG RAW, atau 2.5 jam rakaman video berkualiti tinggi. Sigma BF juga mampu merakam video dengan resolusi 6K pada kadar bingkai sehingga 30P, atau 4K yang dihasilkan daripada rakaman asal resolusi 6K/30P.

Selain itu, Sigma BF menyokong rakaman dalam format H.264 dan H.265 serta dilengkapi dengan L-Log Leica untuk memudahkan penyuntingan warna dan tona. Pemindahan imej dapat dilakukan dengan mudah melalui port USB-C yang terletak di bahagian sisi kamera. Badannya pula ringan, dengan berat hanya 388g tanpa bateri.

Di Malaysia, Sigma BF ditawarkan pada harga bermula RM9,688 untuk badan kamera sahaja, manakala pakej kamera bersama lensa 35mm F2 DG dijual pada harga RM12,688. Ia boleh dipratempah sekarang dengan jangkaan tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk kamera ini diterima.  

Komen