Carian
Aplikasi JomCharge Kini Mengintegrasikan Kad Kredit Maya Visa Alliance Bank – Daftar, Urus & Caj Terus Menerusi Aplikasi
April 23, 2025 Ikhwan Nazri

Bagi anda yang menggunakan kereta elektrik, pengecasan kereta elektrik nerupakan satu perkara yang mempunyai cabarannya tersendiri. Ia tidak semudah mengisi petrol, dan setiap penyedia pengecasan mempunyai caranya yang tersendiri. Bagi mengurangkan kelecehan tersebut, EV Connection bekerjasama dengan Alliance Bank membolehkan pengguna mendaftar kad kredit maya yang khas untuk aplikasi pengecasan JomCharge.

Berbeza dengan kad kredit biasa, integrasi antara kad kredit maya Alliance Bank dan aplikasi JomCharge turut merangkumi dari proses pendaftaran, pembayaran sehinggalah kepada pengurusan kad kredit maya tersebut. Kesemua ini boleh dilakukan secara terus menerusi aplikasi JomCharge. Pengguna perlu mendaftar, dan turut boleh menetapkan had pembayaran untuk setiap pengecasan. Lebih menarik lagi, pembayaran untuk pengecasan juga boleh dibayar secara ansuran 0% selama 12 bulan menerusi Alliance Bank.

Antara faedah lain yang ditawarkan menerusi kad kredit maya Alliance Bank ini termasuklah rebat pengecasan 20% di semua plug pengecasan JomCharge termasuklah rakan perayauan pengecasan ( roaming partners ) ChargEV dan Gentari, kredit RM 100 percuma apabila permohonan kad kredit maya Alliance Bank diluluskan, dan juga 8x mata ganjaran Timeless Bonus Point yang tidak mempunyai tarikh luput. 

Aplikasi JomCharge turut menyokong kad kredit lain, namun dengan adanya integrasi kad kredit maya Alliance Bank terus ke aplikasi JomCharge ini akan memudahkan pengecasan disamping memberikan ganjaran dan pengurusan kad kredit maya yang lebih mampan. Anda boleh mendaftar kad kredit maya ini terus menerusi aplikasi JomCharge bermula hari ini. 

Nota: Kad kredit ini merupakan kad kredit konvensional / tidak patuh syariah.

Komen