Poco C71 telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ia membawakan spesifikasi kelas asas untuk kegunaan harian biasa. Selain itu, ia turut diperbaharui dengan rekaan yang menyerupai sebuah iPhone 16. Bagi yang berminat, Poco C71 dijual di Malaysia dengan harga bermula RM299 (3/64GB) dan RM399 (4/128GB). Ia turut tersedia pada harga promosi RM269 (3/64GB) dan RM319 (4/128GB) untuk masa terhad.

Poco C71 menggunakan skrin sejenis IPS LCD HD+ sebesar 6.88-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga dijana oleh cip UNISOC T7250 (12nm) dengan gabungan memori sehingga 4GB RAM dan storan dalaman 128GB untuk tunjang utama. Sementara itu, bateri 5200mAh digunakan menyokong pengecasan berwayar 15W. Turut disertakan adalah kamera utama 32MP, swafoto 8MP, port USB-C, bicu audio 3.5mm dan pengimbas cap jari sisi.