Adobe sedia mempunyai sokongan penjanaan gambar dikuasakan kecerdasan buatan, dinamakan Firefly. Hari ini, mereka memperkenalkan Firefly Image Model 4, yang dikatakan membawakan kualiti penjanaan lebih baik, disamping menjana sesuatu imej berkenaan dengan lebih pantas.

Firefly Image Model 4 juga turut membolehkan penjanaan gambar yang lebih kompleks melaluinya. Disamping itu, melalui kemaskini untuk Firefly versi web, ia turut menyertakan sokongan kebolehan memilih model berbeza untuk anda gunakan dalam penjanaan – termasuk sokongan untuk GPT Image dan juga Google Imagen 3.
Penjanaan imej baharu juga turut menghasilkan teks dalam gambar lebih baik – salah satu peningkatan drastik pada pelbagai penjanaan gambar kebelakangan ini. Ini sekaligus membolehkan pengguna untuk menghasilkan poster dan sebagainya dengan mudah.
Tidak setakat itu, kemaskini baharu turut membawakan akses kepada sokongan penjanaan video bagi semua pengguna seluruh dunia. Pengguna juga turut kini disediakan dengan Firefly Vector Model yang memudahkan anda menghasilkan karya berbentuk vector yang digunakan dalam pelbagai karya seni.
Pengguna dengan akaun Creative Cloud boleh mengaksesnya, tetapi sekiranya anda inginkan akses yang lebih meluas, ia menawarkan langganan bermula RM47.96 sebulan.
