OnePlus kini telah melancarkan sebuah telefon pintar mercu baharu untuk pasaran China, dinamakan OnePlus 13T. Ia hadir dengan pelbagai spesifikasi terkini, dan memfokuskan kepada rekaan yang lebih kompak berbanding peranti mercu lain.

OnePlus 13T hadir dengan skrin 6.32-inci dengan kadar segar semula 120Hz, dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite, pilihan memori sehingga 16GB RAM dan storan hingga 1TB UFS 4.0. Walaupun bersaiz kompak, OnePlus menyertakan bateri berkapasiti 6260mAh bersama-sama dengannya yang menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 80W.
Untuk rakaman gambar, OnePlus 13T hadir dengan sensor utama 50-megapixel di belakang yang dipadankan bersama sensor telefoto 50MP. Untuk swafoto, ia menyertakan kamera 16MP.

Sokongan lain yang disertakan adalah termasuk kalis air IP65, sokongan NFC, dan menjalankan Color OS 15 berasaskan Android 15. Peranti ini turut menyertakan beberapa kekangan, termasuk ketiadaan sokongan pengecasan nirwayar, tiada sensor kamera ultra-lebar, dan USB C berasaskan USB 2.0 sahaja. “Alert Slider” dibahagian tepi yang sinonim dengan peranti OnePlus juga turut digantikan dengan butang Shortcut Key yang memudahkan anda tetapkannya untuk mengakses sejumlah aplikasi dengan mudah dan pantas.

Namun dengan saiznya yang kompak, dan lebih kecil berbanding OnePlus 13, ia mungkin menjadi pilihan mereka yang inginkan telefon bersaiz kompak. Buat masa ini, OnePlus 13T hanya diumumkan untuk pasaran China sahaja, dan tidak diketahui lagi berkenaan penawaran globalnya.