Baru-baru ini kami telah melaporkan bahawa Intel akan membuang kira-kira 20 peratus daripada tenaga kerja sedia ada mereka, yang dianggarkan sebanyak 20 ribu pekerja tidak lama lagi. CEO Intel, Lip-Bu Tan nampaknya telahpun membuat pengumuman kepada syarikat berkenaan perkara ini.
Tiada butiran berkenaan berapa ramai pekerja yang akan dibuang, tetapi beliau mengatakan bahawa jumlah pekerja akan dikurangkan bermula seawal suku kedua tahun ini dan sepanjang beberapa bulan akan datang, dan menurut kenyataan tersebut, pengaruh birokrasi dalam syarikat tersebut akan dikurangkan, bermakna bahawa fokus Intel selepas ini akan lebih tertumpu kepada membina tenaga kerja kejuruteraan dan teknikal mereka.

Pada minggu lepas, Lip-Bu Tan telah menstruktur semula pasukan pengurusan Intel dengan melantik Ketua Pegawai Teknologi dan juga Ketua Pegawai AI baru yang akan membantu dalam mengurangkan lapisan birokrasi dalam syarikat tersebut untuk memudahkan proses kolaborasi diantara pekerja dan pihak pengurusan syarikat untuk membolehkan Intel memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan baru dengan lebih cepat dan lancar.
Dalam pada itu, Intel juga akan mengemaskini penawaran bekerja dari rumah mereka. Sebelum ini, pekerja diminta untuk bekerja tiga hari di pejabat, dan dua hari di rumah, tetapi oleh kerana aturan ini tidak diikuti dengan baik, aturan bekerja baru empat hari di pejabat akan berkuatkuasa bermula 1 September tahun ini.
Intel juga dilihat akan mula mengurangkan perbelanjaan operasi mereka sebanyak $1.5 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang untuk mengurangkan ketirisan kewangan syarikat.
Lip-Bu Tan mengatakan bahawa keputusan-keputusan yang akan dibuat dalam masa terdekat dan sederhana ini akan adalah sukar untuk dilakukan, tetapi adalah perlu untuk menaikkan semula nama Intel sebagai sebuah ikon industri perkomputeran yang dinikmati pada era 90an dan awal 2000 sebelum ini.