Carian
Sub-Jenama Nothing Memperkenalkan Telefon Baharu, CMF Phone 2 Pro – Berharga RM1199
April 28, 2025 Aman

CMF, sub-jenama dibawah Nothing hari ini secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, iaitu CMF Phone 2 Pro. Ini sekaligus menjadikannya sebagai telefon kedua yang diperkenalkan dibawah jenama CMF.

CMF Phone 2 Pro hadir dengan skrin 6.77-inci dengan panel paparan AMOLED, dilengkapi sokongan kadar segar semula 120Hz, dikuasakan dengan cip MediaTek Dimensity 7300 Pro, memori 8GB RAM dan storan 256GB.

Pada bahagian kamera, ia menyertakan kamera utama 50-megapixel, kamera telefoto 50-megapixel, kamera ultra lebar 8-megapixel di belakang. Untuk swafoto, ia menyertakan kamera 16-megapixel.

Melengkapkan peranti ini adalah bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan 33W. CMF Phone 2 Pro ini hadir dengan rekaan ceria dan menyasarkan pengguna muda.

CMF mengatakan mereka mengekalkan rekaan modular, membolehkan pengguna mengubah kerangka, selain aksesori lain seperti lensa tambahan untuk peranti.

CMF mengatakan ia akan menawarkan sokongan kemaskini sistem operasi selama 3 tahun, dan kemaskini sekuriti selama 6 tahun. Peranti ini turut hadi dengan Essential Space yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan, serta hadir menjalankan Android 15.

CMF Phone 2 Pro ini ditawarkan di Malaysia pada harga RM1199. Ia boleh dipra-tempah bermula hari ini, dan jualan akan bermula 6 Mei 2025 kelak. Anda yang berminat boleh menyemak penawaran CMF Phone 2 Pro ini melalui laman rasmi Nothing hari ini.

Komen