OpenAI melaporkan lebih 1 bilion carian dilakukan menerusi ChatGPT minggu lalu yang menunjukkan ia kini bersaing secara terus dengan Google Search sebagai enjin carian. ChatGPT kini mula memaparkan saranan produk yang boleh dibeli berdasarkan parameter carian yang dilakukan. Pengguna kemudian boleh membeli terus produk yang disarankan terus dari dalam ChatGPT.

Untuk membolehkan produk dipaparkan dalam ChatGPT, OpenAI kini menyarankan pemilik laman untuk memberikan akses kepada bot untuk melakukan carian. Selain memaparkan saranan produk, pengguna ChatGPT juga boleh meminta chatbot mempamerkan perbezaan antara produk, memberikan spesifikasi produk, rumusan untuk ulasan produk dan pelbagai maklumat yang dirasakan penting bagi melakukan pemilihan pembelian.
Menurut OpenAI pada waktu ini saranan produk adalah organik dan bergantung kepada maklumat paling tepat. Mereka masih belum menawarkan ciri membenarkan pengiklanan terus daripada pengeluar seperti yang dilakukan oleh Google Search.