Meta hari ini telah menganjurkan Meta Marketing Summit di Malaysia, dan melaluinya, mereka turut berkongsi sejumlah perkembangan terkini syarikat mereka. Salah satunya adalah berkenaan dengan penawaran perkhidmatan kecerdasan buatan mereka tersendiri, dinamakan Meta AI.
Menurut Meta, kini Meta AI digunakan lebih 700 juta pengguna aktif setiap bulan, sekaligus menjadikan ia sebagai perkhidmatan berasaskan kecerdasan buatan yang popular di pasaran. Ia hadir terbina pada Facebook, Instagram, dan WhatsApp, memudahkan pengguna bertanyakan tanpa perlu memuat-turun atau melakukan perubahan pada tetapan.
Walaubagaimanapun, Meta AI masih belum ditawarkan di Malaysia buat masa ini. Pada acara Meta Marketing Summit, pihak Meta sekadar mengatakan perkhidmatan Meta AI ini akan hadir ke pasaran Malaysia tidak lama lagi.


Pada penghujung tahun lepas, Meta telah menyatakan perkhidmatan berkenaan akan hadir ke Malaysia, namun tidak menyatakan bilakah tarikh untuknya. Melalui Meta AI, sejumlah perkara ingin dipermudahkan, termasuk untuk bertanya berkenaan sejumlah perkara, menjana gambar, menjana video, dan melakukan pelbagai tugasan lain.
Meta juga turut menawarkan model kecerdasan buatan mereka secara sumber terbuka, dan telah dimuat-turun lebih 1 bilion kali, selain mempunyai lebih 213,000 model yang dibangunkan berasaskan dengannya.