Carian
Predator Orion 7000 Dikemaskini Komponen Intel Dan NVIDIA Terbaru – Berharga RM15,999
April 29, 2025 Nazrin

Intel dan NVIDIA telah memperkenalkan penawaran cip pemprosesan dan kad grafik terbaru mereka melalui siri cip pemprosesan Intel Core 200 dan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 yang terbaru.

Jika anda sedang mencari sebuah komputer gaming desktop yang berkuasa, Acer Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa Acer Predator Orion 7000 telah dikemaskini dengan komponen-komponen terbaru daripada kedua-dua syarikat tersebut.

Predator Orion 7000 terbaru ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 285K yang boleh dilewahjam, bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi, tetapan dan kadar segar semula skrin yang tinggi.

Komputer ini juga dimuatkan dengan 64GB memori DDR5 dan storan SSD sebesar 2TB untuk membolehkan anda memuat-turun dan main semua permainan-permainan komputer kegemaran anda tanpa perlu risau tentang jumlah storan yang tidak mencukupi.

Cip pemprosesan desktop ini juga disejukkan menggunakan sistem penyejukan cecair terbina yang menggunakan radiator 360mm, manakala rangka komputer ini juga menggunakan sistem kipas Predator CylconeX 360 yang menggunakan tiga buah kipas 120mm di bahagian depan komputer untuk mengalirkan udara sejuk kedalam rangka untuk penyejukan komponen yang lebih cekap.

Predator Orion 7000 juga tampil dengan sokongan untuk sambungan rangkaian WiFi 7 yang pantas, bersama-sama dengan sokongan untuk sambungan lain seperti Bluetooth 5.4, Thunderbolt 4 untuk sambungan kabel dengan kadar penghantaran data berprestasi tinggi.

Acer Malaysia mengatakan bahawa komputer desktop Acer Predator Orion 7000 sudah mula ditawarkan di pasaran tempatan melalui Acer eStore, Shopee dan juga Lazada pada harga RM15,999 untuk spesifikasi yang ditetapkan. Pembelian awal pada 29 April sehingga 15 Mei 2025 juga akan hadir dengan hadiah percuma sebuah kerusi gaming dan kredit Touch’n’Go eWallet bernilai RM1499.

Komen