Carian
Pra-tempahan Acer Predator Helios 18 AI Kini Dibuka Dengan Harga RM19,999
April 29, 2025 Nazrin

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming yang tiada kompromi, dan mempunyai prestasi yang memiripi sebuah komputer desktop gaming, Acer Malaysia hari ini mengumumkan bahawa komputer riba paling berkuasa mereka, Acer Predator Helios 18 AI akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan pra-tempahannya akan dibuka bermula hari ini.

Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin Mini LED bersaiz 18 inci dengan resolusi 2K dan kadar segar semula 250Hz yang juga digerakkan dengan gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 275HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080 yang sangat berkuasa. Ia juga dimuatkan dengan memori DDR5 sebanyak 96GB dan storan SSD PCIe4.0 4TB yang bukan sahaja besar, tetapi juga sangat pantas.

Dalam pada itu, komputer riba ini juga tampil dengan slot memori dan storan tambahan yang membolehkannya memuatkan sebanyak 192GB memori dan 6TB storan. Komputer riba ini juga hadir dengan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi keenam yang memperkenalkan bilah kipas yang lebih nipis (0.05mm) dan rekaan baru yang boleh mengalirkan udara ke komponen-komponen CPU dan cip grafik dengan lebih cepat dan banyak.

Seperti komputer riba kelas Predator Helios sebelumnya, komputer riba ini juga hadir dengan kekunci mekanikal MagKey 4.0 yang membolehkan pengguna untuk mengubah kekunci WASD dan kekunci arah dengan kekunci yang lebih selesa.

Dari segi sambungan, Acer mengatakan bahawa komputer riba ini menyokong sambungan internet nirwayar WiFi7 yang pantas, dan juga palam Thunderbolt 5 untuk kadar penghantaran data antara peranti dan komputer riba yang sangat pantas sekali.

Acer Malaysia mengatakan bahawa mereka akan membuka pra-tempahan untuk Predator Helios 18 AI bermula hari ini pada harga RM19,999. Setiap pembelian komputer riba ini bermula hari ini sehingga 15 Mei kelak akan datang dengan sebuah beg galas dan juga pilihan pembelian dengan pembelian untuk sebuah paparan skrin Predator X27 pada harga RM35 sahaja.

Komen