Meta hari ini mengadakan acara memfokuskan kecerdasan buatan mereka tersendiri, dinamakan LlamaCon. Nama diambil bersempena dengan penawaran model bahasa raya berasaskan sumber terbuka mereka tersendiri, iaitu Llama.

Pada acara ini, Meta mengambil peluang untuk berkongsi perkembangan berkenaan Meta AI, dan secara rasminya mengumumkan pengenalan aplikasi kendiri untuk Meta AI. Pengenalan ini, sekaligus akan membolehkan ia bersaing dengan aplikasi kecerdasan buatan lain seperti ChatGPT dan Gemini – dan mungkin kelak turut boleh digunakan untuk menetapkannya sebagai aplikasi kecerdasan buatan utama pada peranti pengguna.
Meta mengatakan kelebihan Meta AI adalah ia lebih diperibadikan kepada anda, memandangkan Meta sedia mempunyai data penggunanya. Ini sekaligus membolehkan Meta AI memberikan respon dan jawapan kepada pertanyaan yang lebih diperibadikan kepada anda.
Selain itu, Meta AI turut menyertakan ciri memori untuk ia ingat maklumat yang anda berbual, dan mengaksesnya pada masa akan datang apabila diperlukan. Selain itu, seperti penawaran perkhidmatan sosial mereka, pengguna turut boleh memilih berkongsi hasil janaan Meta AI bersama rakan lain melalui halaman feed khusus pada Meta AI ini.

Buat masa ini, Meta AI masih belum ditawarkan di Malaysia. Dengan perkembangan ini, semestinya ramai yang tidak sabar untuk mengakses dan menggunakan Meta AI pada platform dibawah Meta, dan juga mencuba sendiri aplikasi Meta AI ini.