Adakah masa depan pengaturcara manusia akan menjadi semakin kelam? Ketika acara LlamaCon yang sedang berlangsung, CEO Microsoft Satya Nadella mendedahkan antara 20-30% kod yang digunakan syarikat kini ditulis oleh kecerdasan buatan (AI). Ini adalah menjawab soalan yang ditujukan oleh Mark Zuckerberg kepada beliau.

Menarik di sini ialah apabila soalan yang sama ditanya oleh Satya kepada Zuckerberg, pengasas Meta mengatakan beliau tidak pula tahu peratusannya di syarikat beliau. Tetapi dalam podsiar terkini Dwarkesh Patel, Zuckberg berkata beliau melihat majoriti kod yang ditulis di Meta dalam tempoh 12-18 bulan bagi tujuan pembangunan serta kajian Llama akan ditulis oleh AI.
Kenyataan yang dikeluarkan ini selari dengan visi syarikat yang ingin menggantikan pembangun perisian manusia dengan AI yang boleh melakukan tugas yang sama tetapi lebih pantas.
Ini adalah perubahan besar dalam dunia pembangunan perisian kerana 30 tahun yang lalu mendiang Steve Jobs berkata semua insan perlu belajar memprogramkan komputer kerana ia mengajar manusia berfikir. Jika semua tugasan ini akan diganti oleh AI, adakah generasi masa hadapan tidak lagi perlu berfikir.