Carian
Elon Musk Mengatakan Grok 3.5 Boleh Menjawab Soalan Teknikal Menggunakan “Model Nalar”
April 30, 2025 Nazrin

Apabila bercakap mengenai bagaimana model bahasaraya sistem kecerdasan buatan (AI LLM) mempelajari maklumat, secara lazimnya ia dilakukan dengan sistem tersebut menggunakan khidmat dan data yang diperolehi daripada internet, dengan berjuta-juta laman web, platform media sosial dan sebagainya untuk mendapatkan pemaklumat ini.

Elon Musk mengatakan bahawa versi beta Grok 3.5 akan diperkenalkan pada minggu hadapan untuk pelanggan SuperGrok dimana mereka bukan sahaja boleh mengakses versi Grok AI yang terbaru, tetapi juga mula menanyakannya soalan-soalan teknikal yang secara lazimnya cukup sukar untuk dijawab oleh perkhidmatan AI yang lain.

Elon Musk mengatakan bahawa apabila ia dilancarkan kelak, Grok 3.5 boleh menjawab soalan teknikal berkaitan topik seperti elektrokimia, sains roket dan sebagainya. Ia akan menggunakan “model nalar” ataupun reasoning model yang mana ia akan memberi pengguna maklumat yang diolah secara sendiri berdasarkan pemahaman LLM tersebut berdasarkan maklumat yang ia sudah sedia ada.

Ini berbeza dengan cara model AI sedia ada yang menggunakan maklumat yang diperolehi tanpa “memahami” konteks soalan yang ditanya dan jawapan yang diberikan. Menariknya, DeepSeek R1 juga menggunakan model nalar yang mahu digunakan oleh Grok 3.5 kelak, dan apabila ia berjaya memberi jawapan munasabah yang juga bertepatan dengan konteks soalan yang diberikan, ia telah dijulang sebagai teknologi AI yang tidak semestinya memerlukan pelaburan besar untuk membina sebuah LLM yang cekap.

Akan tetapi, isu terbesar dengan penggunaan model nalaruntuk perkhidmatan AI ialah maklumat yang dikeluarkan masih berkemungkinan akan mempunyai ralat, dan untuk soalan-soalan yang lebih teknikal, seperti yang dianjurkan Elon Musk, ia adalah lebih sukar untuk dibuktikan samada tepat ataupun tidak kerana penyelidikan yang perlu dilakukan untuk memastikan jika maklumat yang diberikan oleh perkhidmatan AI adalah tepat ataupun tidak.

Elon Musk juga mengatakan bahawa oleh kerana model nalar ini akan mencipta jawapannya sendiri, kuasa pemprosesan yang diperlukan untuk menjawab soalan-soalan teknikal ini adalah lebih tinggi, dan oleh kerana itu, xAI dilihat mahu membina pusat data yang mempunyai satu juta cip pemprosesan AI untuk merealisasikan pembinaan teknologi AI yang paling berkuasa di dunia.

Grok 3.5 dijangka akan dilancarkan pada minggu hadapan untuk para pelanggan SuperGrok, tetapi buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan diperkenalkan untuk penggunaan umum.

Komen