Carian
Butiran Cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2 Tertiris – Akan Diumumkan September Ini
April 30, 2025 Nazrin

Siri cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 merupakan siri cip pemprosesan yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang sentiasa mahu menggunakan peranti pintar paling premium di pasaran sekarang. Terkini, beberapa butiran mengenai cip pemprosesan kelas mercu mereka akan datang, Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2 telah tertiris, dan ia dijangka akan diperkenalkan lebih awal pada tahun ini.

Menurut beberapa laporan, cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2 akan memperlihatkan peningkatan prestasi CPU sebanyak 25 peratus, dan prestasi GPU setinggi 35 peratus berbanding dengan apa yang ditawarkan pada Qualcomm Snapdragon 8 Elite.

Memori cache terbina pada cip terbaru ini juga dilaporkan akan ditingkatkan dari 12MB dari generasi sebelum ke 16 peratus, dan ini akan banyak membantu cip Snapdragon 8 Elite 2 untuk meningkatkan prestasi pemprosesan grafik, khususnya.

Dikilangkan dengan proses TSMC N3P, cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite 2 dijangka hadir dengan kelajuan CPU sehingga 4.4GHz, bersama-sama dengan penggunaan kuasa yang lebih cekap yang menjanjikan jangka hayat bateri lebih panjang, suhu peranti yang lebih rendah dan prestasi cip pemprosesan yang jauh lebih hebat.

Laporan-laporan ini turut mengatakan bahawa Qualcomm akan memperkenalkan cip pemprosesan ini pada bulan September 2025, dan peranti-peranti pintar yang menggunakannya akan mula tiba di pasaran seawal Oktober 2025.

Komen