Meta pada minggu ini telah melancarkan aplikasi khusus untuk mengakses perkhidmatan penjanaan berasaskan kecerdasan buatan mereka, dinamakan Meta AI. Untuk makluman, ia sedia diintegrasikan pada Facebook, Messenger dan WhatsApp – serta telah diperkenalkan di beberapa buah negara. Ia masih belum ditawarkan di Malaysia buat masa ini.
Meta sedia berkongsi mengatakan ia kini mempunyai hampir 1 bilion pengguna, dan Mark Zuckerberg telah mula mengorak langkah seterusnya untuk Meta AI.

Bergerak ke hadapan, Mark Zuckerberg mengatakan mereka sedang melihat kepada peluang menawarkan perkhidmatan premium yang memberikan akses kepada fungsi tambahan, dan juga sokongan perkomputeran lebih tinggi.
Disamping itu, ia juga dirancang untuk menyertakan pengiklanan atau cadangan produk terus melalui Meta AI kelak. Walaubagaimanapun, untuk peringkat awal, Meta AI akan lebih difokuskan dalam terus memperluaskan dan meningkatkan penggunaannya sebelum mula memfokuskan kepada bahagian penjanaan wang melalui Meta AI ini.