Carian
Pasaran Telefon Pintar Global Menunjukkan Pertumbuhan Sederhana Pada Q1 2025 – Canalys
May 2, 2025 Amy Maizuraa

Menurut laporan terkini Canalys, pasaran telefon pintar global menunjukkan pertumbuhan sederhana sebanyak 0.2% pada Q1 2025, dengan jumlah penghantaran mencapai 296.9 juta unit. Walaupun pasaran di China dan Amerika Syarikat menunjukkan peningkatan, beberapa wilayah lain seperti India, Eropah dan Timur Tengah mengalami penurunan akibat sikap berhati-hati pengguna dalam pembelian peranti baharu.

India, Ameria Latin dan Timur Tengah mencatatkan penurunan jualan telefon pintar kerana kebanyakan pengguna masih berpuas hati dengan peranti mereka dan lebih berhati-hati dalam membuat pembelian baharu. Di Eropah pula berlakunya lebihan stok produk selepas penghantaran yang tinggi pada tahun lalu. Malahan menjelang pelaksanaan peraturan baharu Kesatuan Eropah, kebanyakan pengeluar turut diminta untuk menawarkan peranti yang mudah dibaiki dan sokongan perisian lebih lama. Namun, peraturan ini hanya akan dikenakan pada peranti yang diimport selepas tahun 2025.

Pasaran telefon pintar di Afrika pula berkembang pesat dengan peningkatan jualan runcit oleh jenama utama seperti vivo dan Honor, dengan Honor mencapai rekod jualan tertinggi dalam sejarahnya. Sementara itu, di Amerika Syarikat, Apple meningkatkan penghantaran sebelum tarif berkuat kuasa sebelum ini bertujuan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos. Namun langkah ini memberi impak besar kepada telefon pintar mampu milik yang menyebabkan harga jualan meningkat.

Dari segi bahagian pasaran, Samsung kekal sebagai peneraju industri dengan 20% bahagian pasaran, serta penghantaran 60.5 juta unit yang meningkat 1% berbanding tahun lalu. Apple berada di tempat kedua dengan 19% bahagian pasaran hasil daripada pembelian stok besar untuk Mac kemudian mencatatkan penghantaran 55.0 juta unit dan pertumbuhan tahunan sebanyak 13%.

Xiaomi menduduki tempat ketiga dengan 14% bahagian pasaran, dan menghantar sebanyak 41.8 juta unit di mana meningkat 3% berbanding tahun sebelumnya. Sementara itu, pertumbuhan tahunan vivo meningkat sebanyak 7%, dan mencapai 8% bahagian pasaran dengan penghantaran sebanyak 22.9 juta unit. Oppo pula mengalami penurunan 9%, serta menyumbang 8% bahagian pasaran dengan 22.7 juta unit penghantaran peranti.

Komen