Beberapa minggu lalu, kami telah melaporkan bahawa pra-tempahan untuk kereta elektrik pertama Honda, iaitu Honda e:N1 telahpun dibuka, dengan pelancaran tempatannya akan berlaku tidak lama lagi.
Hari ini, kami telah diberi pengesahan bahawa pelancaran tempatan untuk Honda e:N1 ini akan diadakan pada 15 Mei 2025 ini.

Honda e:N1 merupakan kereta elektrik yang dibangunkan dari platform e:N Architecture F dan hampir kelihatan bagaikan H-RV dengan rekaan yang sama boleh dilihat dari pemegang pintu belakang, sehinggalah ke ruangan dalaman. Ia mempunyai motor elektrik yang boleh memberikan kuasa maksimum 150kW dan tork maksimum 310 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 160 km/j.

Dari segi pengecasan pula, Honda e:N1 yang dijual di Indonesia mempunyai jarak perjalanan sehingga 500km NEDC hasil dari bateri bersaiz 68.8 kWh. Namun ia hanya menyokong pengecasan DC 78 kW, ,membuatkan tempoh pengecasan 10%-80% dalam masa 45 minit. Namun berlainan untuk AC, dimana pengecasan 11kW memerlukan sekitar 6 jam untuk pengecasan penuh.
Ia dijangka bahawa Honda Malaysia juga akan memperlihatkan tarikh dan harga jualan untuk kereta elektrik Honda e:N1 ini di acara pelancaran tersebut.