Carian
Honor Melancarkan MagicBook Pro 16 2025 Dengan CPU Intel Core Ultra
May 2, 2025 Amy Maizuraa

Honor telah melancarkan MagicBook 16 Pro 2025 yang menyasarkan kepada dua kategori pengguna iaitu pencipta kandungan dan para gamers. Ia hadir dalam dua pilihan versi iaitu standard untuk kerja produktiviti harian manakala Hunter Edition pula direka khusus untuk prestasi permainan lebih baik.

MagicBook 16 Pro 2025 standard hadir dalam pilihan CPU Intel Core Ultra 5-225H dan Ultra 9-285H bersama pilihan memori sehingga 32GB LPDDR5x RAM dan 1TB PCIe 4.0 SSD. Ia turut menggunakan kerangka logam dengan ketebalan 17.9mm dan berat 1.81kg. Selain itu, pengguna boleh memilih diantara tiga pilihan warna iaitu Starry Grey, Midnight Black dan Aurora Blue.

Skrin komputer riba menggunakan panel IPS 16-inci dengan resolusi 3072 X 1920 piksel, kadar segar semula 165Hz, masa tindak balas 3ms, serta sokongan 100 DCI-P3 untuk ketepatan warna yang tinggi. Ia turut dilengkapi dengan Oasis Eye Protection dan pensijilan TÜV Rheinland untuk pelindungan mata lebih baik.

MagicBook 16 Pro 2025 Hunter Edition pula menggunakan GPU Nvidia GeForce RTX 5070 GPU, dengan  8GB GDDR7 serta sokongan DLSS 4.0. Perkakasan utama lain termasuk pemprosesan sehingga Intel Core Ultra 9, memori 32GB RAM, dan storan dalaman 1TB SSD. Selain itu, ia mempunyai sistem penyejukan dan tahap bunyi yang rendah. Dengan teknologi Turbo X tuning suite dan Smart Silent Cooling 2.0, ia mampu mencapai 150W prestasi dalam Beast Mode, sambil mengekalkan bunyi kipas pada 35dB semasa digunakan untuk kerja dan 17dB semasa tidak digunakan.

Kedua-dua komputer riba juga dilengkapi dengan sistem audio Honor Spatial Audio 2.0 yang boleh menyesuaikan profil bunyi mengikut genre permainan. Dalam masa sama, ia menampilkan AI Game Assistant yang boleh mengoptimum prestasi komputer riba untuk pengalaman lebih baik.

Harga jualan rasmi MagicBook Pro 16 2025 (Model Standard) bermula RMB6299 (~RM3,717), manakala MagicBook Pro 16 2025 Hunter Edition (RTX 5070 GPU) pula bermula RMB11,499 (~RM6,786) sebuah.

Komen