Carian
ZTE
ZTE Memperkenalkan Nubia Z70S Ultra Dengan Sensor Kamera Dan Bateri Lebih Besar
May 2, 2025 • Nazrin

Jenama peranti pintar Nubia secara lazimnya dikenali untuk penawaran prestasi yang hebat dan juga rekaan yang lebih agresif berbanding kebanyakan peranti-peranti pintar di pasaran hari ini. Terkini, Nubia memperlihatkan model terbaru dan paling berkuasa mereka, iaitu Nubia Z70S Ultra yang merupakan penaiktarafan dalam beberapa aspek berbanding dengan Nubia Z70 Ultra yang dilancarkan pada penghujung tahun lepas.

Sama seperti model sebelumnya, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite, tetapi kali ini ia juga tampil dengan penaiktarafan dari segi jumlah memori, yang dinaikkan ke 24GB dan juga storan UFS 4.0 sebesar 1TB, berbanding dengan 16GB memori dan 512GB storan pada model sebelumnya.

Dari segi paparan pula, Nubia Z70S Ultra hadir dengan saiz paparan yang sama pada 6.85 inci, tetapi menggunakan panel OLED dengan kadar segar semula 144Hz yang sama. Dari segi kaca, model terbaru ini menggantikan gelas Longxi dengan Gorilla Glass 7i yang lebih tahan lasak.

Salah satu penambahbaikan terbesar yang dilihat pada peranti ini ialah pada kameranya. Sensor kamera utama kali ini ialah OmniVision Light Fusion 900 50MP dengan saiz 1/1.3 inci yang dipadankan dengan lensa 35mm f1.7. Ia juga menggunakan lensa 70mm telefoto bersaiz 64MP dan lensa ultra-lebar 50MP untuk melengkapkan sistem tri-kamera peranti ini.

Nubia Z70S Ultra juga mengekalkan butang pengatup fizikal pada peranti sebelumnya, membolehkan pengguna untuk mengambil gambar ataupun merakam video dengan cepat dan mudah. Ia juga boleh digunakan untuk mengakses aplikasi kamera dengan menekan butang tersebut untuk beberapa saat.

Bateri Nubia Z70S Ultra juga dinaiktarafkan ke 6600mAH dan tampil dengan pengecasan pantas 80W sama seperti peranti sebelumnya untuk jangka hayat penggunaan yang lebih lama. Ia juga tampil dengan penarafan kalis debu dan air IP68/69 yang menambahkan kelasakan peranti ini.

Nubia Z70S Ultra sudah diperkenalkan untuk pasaran China, dan hadir dalam beberapa konfigurasi memori dan storan, termasuklah 12GB/256GB, 16GB/512GB dan 24GB/1TB. Untuk pasaran antarabangsa, mungkin termasuk Malaysia juga, ZTE mengatakan bahawa mereka akan mengadakan acara pelancaran global untuk peranti ini pada 13 Mei 2025 tidak lama lagi.

Komen