Carian
Apple Dilaporkan Ingin Ubah Kaedah Pelancaran iPhone – Siri iPhone Biasa Pada Awal Tahun, Siri iPhone Pro Sekitar September
May 3, 2025 Aman

Apple kini dilaporkan ingin mengubah strategi mereka, dan membahagikan pelancaran iPhone kepada dua fasa berbeza. Bermula 2026 kelak, Apple dikatakan akan melancarkan siri iPhone biasa pada awal tahun, sekitar Mac ke Mei, dan diikuti dengan pelancaran siri iPhone Pro sekitar September.

Dengan langkah ini, Apple dijangka akan memberikan fokus yang lebih menyeluruh untuk pemasaran setiap variasi iPhone, dan tidak tenggelam dengan pemasaran model berbeza yang keluar serentak.

Menurut TheInformation, Apple dijangka memperkenalkan iPhone 18 Air, iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max sekitar September 2026 kelak. Ini seterusnya diikuti dengan pengenalan iPhone 18 dan juga iPhone 18e pada Mac 2027.

Pembahagian ini juga dikatakan selari dengan penambahan satu lagi model iPhone yang dijangka pada 2026, iaitu iPhone boleh-lipat. Selain itu, ini juga mungkin sebahagian langkah Apple dalam terus menguruskan pengeluaran mereka yang kini mula mengurangkan kebergantungan terhadap China.

Langkah ini juga dilihat akan memperlihatkan Apple akan menawarkan sekitar 6 model iPhone yang dikemaskini hampir setiap tahun bergerak ke hadapan.

Untuk tahun ini, Apple dijangka memperkenalkan sekitar 4 model iPhone 17 pada September kelak, iaitu iPhone 17, iPhone 17 Air, iPhone 17 Pro dan juga iPhone 17 Pro Max.

Komen