MSI Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan pra-tempahan untuk sebuah komputer riba nipis dan ringan kelas produktiviti terbaru mereka, iaitu MSI Venture AI, yang hadir dengan dua buah model, MSI Venture 14 AI dan MSI Venture 16 AI.
Seperti yang diperlihatkan pada nama model kedua-dua komputer riba ini, ia tampil dengan dua pilihan paparan OLED bersaiz 14 inci dan 16 inci dengan resolusi 2K, 2.8K dengan kadar segar semula 120Hz. Kedua-dua komputer riba ini juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 125H dengan 16GB memori dan storan SSD sebesar 512GB.

Kedua-dua komputer riba ini juga tampil dengan satu palam Thunderbolt 4, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 dan satu palam RJ-45 untuk sambungan internet berwayar. Untuk sambungan internet nirwayar, kedua-dua komputer riba ini juga tampil dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E dan untuk sambungan peranti nirwayar, Bluetooth 5.3.
Dengan penjenamaan AI, komputer riba ini juga dilihat memanfaatkan teknologi AI melalui perisian MSI Center S yang merumahkan sejumlah ciri-ciri AI seperti AI Noise Cancelling Pro yang membantu membatalkan bunyi hingar apabila anda berada dalam sesi telesidang ataupun panggilan video.

MSI AI Engine pula membantu anda mengoptimasikan prestasi komputer riba berdasarkan tugasan yang anda sedang lakukan. Jika anda sedang melayari web, memori akan diagihkan berdasarkan berapa banyak tab laman web yang dibuka, ataupun jika anda sedang menyunting video atau mengolah objek 3D, lebih banyak sumber CPU akan diagihkan untuk tugasan tersebut secara automatik.

MSI AI Lan pula membantu anda untuk mengagihkan jumlah bandwidth sambungan internet anda untuk tujuan seperti memainkan permainan atas-talian, muat-turun kemaskini perisian ataupun untuk memastikan panggilan telesidang anda tidak tersekat-sekat.
Pra-tempahan untuk komputer riba MSI Venture 14 AI sudahpun dibuka pada harga RM4099 manakala MSI Venture 16 AI akan diperlihatkan tidak lama lagi pada harga RM4499.