Microsoft nampaknya akan memperkenalkan model baru untuk dua siri peranti Surface mereka, iaitu tablet Microsoft Surface Pro 12 dan komputer riba Microsoft Surface Laptop 13 dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Plus yang diperkenalkan ke pasaran pada tahun lepas bersama-sama dengan Qualcomm Snapdragon X Elite.

Kedua-dua peranti Microsoft Surface Pro 12 dan Microsoft Surface Laptop 13 ini, melalui butiran yang tertiris awal boleh dilihat sebagai dua buah model baru, khususnya dengan saiz paparan baru, dimana Surface Pro 12 menggunakan panel LCD PixelSense bersaiz 12 inci, dan Surface Laptop 13 dengan panel LCD PixelSense 13 inci.

Sebelum ini, model Surface Pro 9 dan 10 tampil dengan paparan skrin bersaiz 13 inci, manakala Surface Laptop sebelum ini hadir dengan pilihan paparan bersaiz 13.5 ke 15 inci.

Seperti yang dikatakan pada perenggan pertama, tablet Microsoft Surface Pro 12 dan Microsoft Surface Laptop 13 akan dikuasakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Plus dengan lapan teras fizikal, bersama-sama dengan memori DDR5 16GB dan pilihan storan 256GB/512GB.

Menariknya, melalui butiran yang tertiris juga, storan untuk kedua-dua peranti ini diubah dari SSD kepada storan UFS. Jika benar, ini bermakna bahawa kedua-dua Surface Pro 12 dan Surface Laptop 13 ini akan hadir dengan prestasi storan yang tidak sebaik model-model Surface sebelum ini.
Microsoft akan mengadakan acara pengumuman berkenaan peranti Microsoft Surface baru ini pada 6 Mei, dan kedua-dua peranti ini adalah diantara produk yang akan diperlihatkan oleh mereka. Ia juga dijangka bahawa butiran seperti tarikh dan harga jualan kedua-dua peranti ini akan diumumkan di acara tersebut.