Carian
Bahagian Bukan-Untung OpenAI Akan Kekal Memegang Majoriti Syarikat
May 6, 2025 Nazrin

Jika anda mengikuti perkembangan syarikat kecerdasan buatan OpenAI, anda tahu bahawa ia dimulakan sebagai sebuah syarikat bukan-untung, akan tetapi dengan keperluan kewangan untuk kekal meneruskan kelangsungan syarikat, CEO OpenAI, Sam Altman berkata bahawa terdapat kemungkinan bahawa ia akan ditukar kepada sebuah syarikat korporat.

Dan ya, kini, OpenAI ialah sebuah syarikat korporat yang memperlihatkan keuntungan berbilion-bilion dolar, tetapi badan lembaga syarikat tersebut telah mengumumkan bahawa bahagian bukan keuntungan mereka masih lagi akan mengekalkan pegangan majoriti saham syarikat tersebut.

Untuk ini, OpenAI akan menukar bahagian bisnes syarikat tersebut kepada sebuah Public Benefit Corporation atau PBC, iaitu sebuah syarikat korporat yang memfokuskan kepada penghasilan keuntungan dan juga faedah awam, memastikan bahawa teknologi OpenAI digunakan untuk manfaat penggunanya.

Melalui hantaran blog mereka, badan lembaga OpenAI mengatakan bahawa mereka telah berbincang dengan sejumlah pihak berkepentingan daripada pihak kerajaan negeri, persekutuan dan sejumlah badan sivik di Amerika Syarikat.

Pegangan majoriti oleh bahagian bukan-keuntungan OpenAI ini diharapkan akan memastikan bahawa teknologi AI yang dibangunkan oleh syarikat tersebut akan memanfaatkan orang ramai, dan tidak disalahgunakan oleh sesiapapun dan memastikan bahawa syarikat tersebut tidak berpaksikan keuntungan semata-mata.

Keputusan ini dilihat sebagai sesuatu yang positif, kerana apabila Sam Altman mengumumkan kehendak beliau untuk menjadikan OpenAI sebagai sebuah syarikat korporat, keputusan tersebut ditemui dengan banyak pendapat negatif. Malah, Elon Musk yang merupakan pelabur awal didalam OpenAI telah bertindak untuk menyaman OpenAI kerana pertukaran daripada organisasi bukan untung kepada syarikat korporat.

Komen