Langganan YouTube Premium kini boleh dikatakan perlu kerana kini terdapat terlalu banyak iklan. Namun begitu pelan langganan sedia ada mungkin dilihat tidak begitu mampu milik. YouTube kini memulakan ujian menawarkan pelan Premium hanya untuk dua pengguna sahaja.

Pelan ini diuji di pasaran Hong Kong, India, Perancis dan Taiwan dengan harga langganannya ialah di antara pelan individu dan keluarga. Di India pelan ini boleh dilanggan dengan bayaran ₹219 (~RM 10.98) sebulan yang lebih murah berbanding ₹299 (~RM 15) sebulan untuk pelan keluarga. Apabila dihubungi, YouTube mengatakan ujian dilakukan bagi melihat sambutan dalam kalangan pengguna.
Beberapa tahun lalu pelan Premium Lite diperkenalkan juga pada harga lebih mampu milik tetapi sehingga kini penawarannya hanya terhad di beberapa negara seperti Belgium, Denmark, Finland dan Sweden.