Carian
Telegram Perkenalkan Kemaskini Baharu Untuk Privasi Lebih Baik
May 6, 2025 Amy Maizuraa

Telegram kini menawarkan kemaskini baharu dengan fokus terhadap keselamatan dan pengalaman pengguna yang lebih baik. Kemaskini ini membawakan beberapa ciri baharu yang menjadikan aplikasi ini lebih selamat dan mudah digunakan.

Penyulitan hujung-ke-hujung (E2EE)

Salah satu ciri yang diperkenalkan ialah ciri penyulitan hujung-ke-hujung (E2EE) untuk panggilan kumpulan yang memastikan tahap keselamatan komunikasi yang lebih baik. Dengan ciri ini, setiap panggilan kumpulan akan dilindungi dan hanya peserta sahaja boleh mendengar perbualan tanpa gangguan pihak luar.

Kini sehingga 200 orang boleh sertai satu panggilan kumpulan dengan sokongan pelindungan tambahan melalui sistem perbandingan emoji. Sistem ini boleh bantu pengguna memastikan panggilan mereka selamat dengan membuat semakan emoji yang dipaparkan semasa panggilan berlangsung.

Akaun Perniagaan Automasi

Selain itu, telegram memperkenalkan akaun perniagaan automasi yang membolehkan pengguna berbayar menggunakan chatbot berasaskan kecerdasan buatan untuk mengurus mesej, profil, transaksi dan stories cerita automatik. Ini bermakan pengguna akaun perniagaan tidak perlu membalas setiap mesej secara manual, sebaliknya chatbot akan melakukannya bagi pihak mereka.

Hadiah Digital (Stars)

Telegram turut memperkenalkan hadiah digital (Stars), iaitu hadiah maya yang boleh diberikan kepada pengguna lain. Hadiah ini boleh dibeli, dijual serta ditukar menggunakan teknologi blockchain. Bagi pengguna berbayar juga mereka boleh memilih jenis hadiah yang mahu diterima dan mengurusnya melalui tab hadiah dalam profil masing-masing.

Sistem Rayuan Sekatan Akaun

Satu lagi ciri baharu ialah sistem rayuan sekatan akaun, yang membolehkan pengguna yang akaunnya disekat mengemukakan rayuan terus daripada aplikasi. Sepanjang tempoh rayuan, akaun yang disekat akan berada dalam keadaan beku (freeze) bermakna pengguna tidak boleh menggunakannya sehingga moderator selesai menyemak permohonan mereka.

Pastikan aplikasi anda sentiasa dikemas kini agar anda dapat menikmati segala ciri baharu yang diperkenalkan.

Komen