Pada awal tahun 2023 yang lepas, pihak MYTV telah memperkenalkan perkhidmatan penstriman video percuma mereka, dinamakan MYTV Mana-Mana. Seperti ramai sedia maklum, MYTV merupakan pengendali kemudahan infrastruktur dan jaringan khidmat TV digital di Malaysia. Melalui MYTV Mana-Mana, pengguna boleh mengakses siaran televisyen dan pelbagai kandungan video ketika berada dimana-mana, melalui peranti mudah-alih.

Pelbagai variasi kandungan ditawarkan, termasuk siaran langsung TV, filem, siri drama, animasi, dan sebagainya. Setelah beroperasi tanpa sebarang bayaran, kini pihak MYTV dalam perancangan memperkenalkan pelan langganan berbayar untuk MYTV Mana-Mana.
Dinamakan sebagai MYTV Mana-Mana Premium, ia akan membolehkan pengguna mengakses sejumlah kandungan khusus, kandungan VOD+ yang serba baharu, serta kemudahan untuk menontonnya di kaca televisyen dikuasakan Google TV.

Buat masa ini, harga langganan tidak diumumkan lagi. Namun, pihak MYTV Mana-Mana telah mula menghubungi sejumlah pelanggan sedia ada, untuk mendaftar minat bagi menguji versi berbayar ini. Mungkin kita akan mendengar lanjut berkenaan penawaran MYTV Mana-Mana Premium ini dalam masa terdekat ini.