Microsoft melancarkan dua peranti baharu Surface Laptop 13″ dan Surface Pro 12″ dengan kedua-duanya adalah Copilot+ PC yang dilengkapi cip Snapdragon X Plus. Ini membawakan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) yang menurut Microsoft dapat membantu pengguna melakukan tugasan harian dengan lebih pantas.

Microsoft Surface Laptop 13″ kini hadir dengan saiz skrin baharu 13″ dengan Snapdragon X Plus. Ini menjadikannya 50% lebih pantas berbanding Surface Laptop 5. Skrin 13″ mempunyai resolusi FHD dengan ia menyokong sentuhan. Ini dipadankan dengan memori sehingga 24GB LPDDR5X RAM dan storan pula sehingga 1TB SSD. Bateri yang disertakan boleh memberikan pengalaman menonton video sehingga 23 jam atau melayari web sehingga 16 jam.
Terdapat juga 2x USB-C USB 3.2, 1x USB-A dan satu bicu audio 3.5mm. Pengimbas cap jari dengan Windows Hello terbina pada butang kuasa. Pengecasan semula komputer riba ini ialah menerusi port USB-C.

Microsoft Surface Pro 12″ baharu pula hadir dengan skrin 12″ PixelSense LCD yang menyokong sentuhan dan stylus Surface Slim Pen gen 2. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon X Plus, memori sehingga 24GB LPDDR5X RAM dan storan pula sehingga 1TB SSD. Bateri yang disertakan boleh memberikan pengalaman menonton video sehingga 16 jam atau melayari web sehingga 12 jam.
Terdapat juga 2x USB-C USB 3.2, dan port untuk sambungan Surface Pro Keyboard. Ia juga menyokong sistem NFC membolehkan sistem kunci sekuriti fizikal digunakan untuk pengesahan identiti. Akhir sekali tongkat di belakang komputer tablet ini membolehkan peranti dibaringkan sehingga 165 darjah.
Kedua-dua Copilot+ PC ini akan dijual bermula 20 Mei dengan Surface Laptop, 13″-inch” pada harga bermula $899 (~RM 3798) manakala Surface Pro, 12″ pula bermula $799 (~RM 3376) sebuah.