Carian
AMD
AMD Mahu Membangunkan Hab Rekacipta Dan Pempakejan Cip Pemprosesan Di Malaysia
May 7, 2025 Nazrin

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengatakan bahawa AMD, syarikat pereka cip pemprosesan terkemuka berminat untuk membangunkan hab rekacipta dan pempakejan cip pemprosesan di Malaysia.

Beliau mengatakan bahawa sebuah mesyuarat telah diadakan bersama-sama dengan CEO AMD, Dr. Lisa Su, dimana mereka telah berbincang tentang kemungkinan untuk membuka hab tersebut di Pulau Pinang kelak.

Seperti yang sedia maklum, Pulau Pinang merupakan salah satu hab pempakejan cip semikonduktor terbesar di rantau Asia Tenggara, dengan nama-nama seperti Intel, Micron dan sebagainya sudahpun bertapak di negeri tersebut untuk sekian lamanya. AMD juga sudahpun mempunyai pejabat di Bayan Lepas, Pulau Pinang, tetapi projek baru ini, sekiranya ia berlaku boleh dikira sebagai pelaburan terbesar syarikat tersebut di Malaysia setakat ini.

Tidak banyak butiran yang diketahui tentang hab ini, tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa ia akan bertanggungjawab untuk membantu dalam merekacipta cip-cip pemprosesan semikonduktor generasi akan datang, dan membantu dalam mempakejkan cip-cip pemprosesan keluaran mereka di masa hadapan.

Beliau berucap di acara pembukaan program operasi dan penyelenggaraan sistem keretapi ECRL semalam, dimana 102 pelatih akan dihantar ke Luzhou, China untuk mempelajari selok-belok penyelenggaraan keretapi ECRL sebelum perkhidmatan tersebut dibuka tidak lama lagi.

Komen