NVIDIA Dan MediaTek Mungkin Memperkenalkan Cip Pemprosesan Baru Di COMPUTEX
Nazrin
Pada tahun lepas, kami ada melaporkan bahawa syarikat-syarikat pembuat cip pemprosesan NVIDIA dan MediaTek akan bekerjasama untuk membangunkan sebuah CPU berasaskan Arm baharu untuk digunakan pada komputer pengguna.
Terkini, ia nampaknya kedua-dua syarikat ini akan mengadakan acara ucaptama mereka sendiri untuk mengumumkan kerjasama ini. Pada awal tahun ini, NVIDIA telah memperlihatkan cip pemprosesan NVIDIA GB10, yang merupakan sebuah cip pemprosesan yang memfokuskan kepada pemprosesan AI.
Di acara COMPUTEX Taipei yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini, kedua-dua syarikat tersebut akan memperlihatkan dua lagi produk SoC baru, yang dijangka akan dinamakan N1 dan N1X khusus untuk komputer desktop/komputer riba kelas pengguna biasa.

Seperti sebelum ini, kedua-dua cip ini akan menggabungkan cip pemprosesan MediaTek dan cip pemprosesan grafik NVIDIA, yang dijangka menggunakan cip pemprosesan grafik Blackwell mereka yang terbaru.
Kerjasama ini dijangka akan memasuki pasaran yang kini dikuasai AMD melalui pilihan cip pemprosesan APU mereka, dan juga Qualcomm yang cuba untuk memasuki pasaran sama dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X mereka.
Dalam pada itu, walaupun pengumuman mengenai cip pemprosesan ini akan dibuat sewaktu acara COMPUTEX, nampaknya produk-produk yang akan menggunakan SoC NVIDIA dan MediaTek ini hanya akan mula tiba di pasaran sekitar 2026 kerana kekangan pengeluaran sedia ada.
[sumber]Computerbase[/sumber]