Rekaan Konsol Mudah-Alih ASUS ROG Ally 2 Tertiris – Hadir Dengan Dua Variasi
Nazrin
AMD telah memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 terbaru untuk konsol mudah-alih gaming, dan setakat ini, ia dilihat bahawa hanya Lenovo Legion Go S menggunakannya setakat ini. ASUS merupakan satu lagi syarikat yang dijangka akan memanfaatkannya dengan konsol ASUS ROG Ally 2 mereka, tetapi sehingga kini, tiada butiran mengenainya diketahui.
Tetapi apa yang kita tahu setakat ini ialah ASUS akan bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan konsol ROG Ally khusus dengan tema Xbox, malah mungkin juga menggunakan sistem operasi Xbox OS, menjadikannya sebuah konsol mudah-alih yang boleh memainkan permainan-permainan konsol tersebut.

Terkini, rekaan untuk konsol ASUS ROG Ally 2 dilaporkan telah tertiris ke arena web, dan ia nampaknya hadir dengan dua versi, satu yang akan tampil dengan penggunaan sistem operasi Windows 11, dan yang lagi satu, versi Xbox.

Terdapat perbezaan yang boleh diperlihatkan pada kedua-dua model ini. Pertama, model yang menggerakkan Windows 11 hadir dengan rangka berwarna putih, manakala versi Xbox pula berwarna hitam. Kedua, versi Xbox juga dilihat tampil dengan satu butang khas untuk mengakses menu Xbox, dan ini memberi sebab untuk orang ramai mengeluarkan spekulasi bahawa konsol ini akan menggerakkan sistem operasi Xbox OS.
Rekaan butang pada ROG Ally 2 juga memperlihatkan rekaan yang sedikit berbeza berbanding dengan model asal, khususnya pada tombol kawalan analog. Dalam pada itu, rangka disebalik paparan skrin bersaiz sekitar 8 inci konsol ini juga dilihat lebih tebal.
Dari segi spesifikasi, ASUS ROG Ally 2 nampaknya akan hadir dengan spesifikasi yang agak berkuasa. Buat masa ini, ia dilihat sebagai diantara konsol terawal menggunakan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme untuk model berwarna hitam (versi Xbox), manakala model berwarna putih akan menggunakan cip pemprosesan AMD Aerith Plus, yang merupakan kemaskini baru kepada cip pemprosesan sama yang digunakan pada Steam Deck.
ASUS Malaysia telah memberitahu kami bahawa ASUS tidak mempunyai pelan untuk memperlihatkan produk baru di acara COMPUTEX 2025, akan tetapi mereka masih akan menunjukkan produk-produk yang diperlihatkan sewaktu acara CES 2025 awal tahun ini. Samada ASUS akan memperlihatkan konsol ROG Ally 2 di acara tersebut tidak diketahui lagi.
[sumber]VideoCardz[/sumber]