Carian
ECRL Kini Siap 82.45% dan Akan Beroperasi Januari 2027
May 7, 2025 Effi Saharudin

Masalah kesesakan lalulintas setiap musim perayaan di Pantai Timur dijangka akan berkurangan pada tahun 2027. Ini kerana  Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini dijangka memulakan operasi seawal Januari 2027 dengan ia kini sudahpun siap 82.45% sehingga April lalu. Ini ialah selari dengan sasaran asal yang diumumkan Kementerian Pengangkutan pada April tahun lalu.

Pemasangan landasan sepanjang 400 kilometer melibatkan laluan Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan telahpun selesai dan selanjutnya pemasangan landasan bagi laluan Maran ke Bentong sepanjang 100 kilometer pula akan dilaksanakan pada Mei ini. Proses pemasangan berjaya disiapkan dua bulan lebih awal.

Menurut pengamatan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), pembinaan bagi fasa pertama melibatkan laluan dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak (TBG) berupaya disiapkan selari dengan penjadualan iaitu sekitar Disember 2026. Manakala jajaran fasa kedua libatkan laluan Gombak dan Pelabuhan Klang pula berpotensi direalisasikan pada akhir 2027 kelak.

Pembinaan ECRL dimulakan pada tahun 2017 sebelum dibatalkan pada tahun 2019. Ia kemudian dimulakan semula dengan penjajaran laluan bagi mengurangkan kos. Apabila siap kelak ia akan menggunakan 11 set kereta api elektrik (EMU) dari jenis CJ6 keluaran China yang terdiri daripada 6 gerabak yang boleh membawa 440 penumpang. Penumpang boleh menaiki ECRL bermula di Westport dan berakhir di Kota Bharu.

Ini sekaligus akan memendekkan masa perjalanan yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor ke sekitar 4 jam sahaja berbanding 6.5 jam menggunakan kereta.

Komen