Bank Rakyat dan Mastercard telah bekerjasama dalam memperkenalkan Touch Card, iaitu kad bank dengan reka bentuk lekuk khas yang membolehkan pengguna OKU penglihatan mengenali kad mereka melalui sentuhan. Inisiatif ini merupakan usaha kedua-dua pihak dalam menyediakan perkhidmatan kewangan lebih baik bagi memastikan akses yang lebih mudah untuk semua pengguna.

Touch Card ini dibuat dalam tiga reka bentuk khusus iaitu bulat untuk kad debit, petak untuk kad kredit dan segi tiga untuk kad prabayar. Dengan reka bentuk ini, pengguna dapat mengenali kad mereka tanpa bergantung pada penglihatan sekaligus menyediakan lebih kemudahan dalam urusan kewangan mereka.

Selain itu, Bank Rakyat turut bekerjasama dengan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk memastikan inisiatif ini benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, seramai 30 pemegang terawal kad Touch Card akan menerima insentif sebanyak RM200 melalui Kad Debit-i Bank Rakyat untuk masa terhad.
Bank Rakyat dikatakan menjadi bank terawal di Malaysia yang menawarkan ciri ini, dalam masa sama selari dengan komitmen Mastercard dalam menyediakan pengalaman pembayaran yang lebih mudah diakses di seluruh dunia.