Carian
SUV Elektrik Terbaru, iCAUR 03 Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM145,000
May 8, 2025 Nur Amzari

iCAUR adalah salah satu jenama dibawah payung besar Cherry dan mereka telah pun melancarkan kereta elektrik terbaru mereka di Malaysia Autoshow iaitu iCAUR 03. Mungkin anda pernah lihat model yang sama sebelum ini tetapi dengan menggunakan nama Jaecoo J6. Di Malaysia, dijenamakan semula sebagai iCAUR 03 dan akan dijual pada tanda harga bermula RM145,000

iCAUR 03 merupakan SUV yang mempunyai rekaan berkotak tetapi futuristik yang mengingatkan kami kepada Hyundai IONIQ 5. Elemen rekaan ini juga sedikit berbeza dengan iCAUR V23 yang menggunakan rekaan yang lebih bulat serta aerodinamik. Dengan rekaan agresif ini, ia seperti kenderaan dari Night City permainan Cyberpunk 2077.

Di Malaysia ia hadir dengan versi pacuan 2WD dengan kuasa 135kW yang menghasilkan tork 220Nm. Untuk jarak perjalanan ia boleh pergi sehingga 426km NEDC yang dikuasakan oleh bateri sebesar 65.7 kWh LFP.

Varian yang kedua iaitu iWD atau Pacuan Roda Pintar menggunakan gabungan motor depan dan belakang dengan kuasa 205kW dan tork 385Nm. Bateri sebesar 69.8kWh dimuatkan untuk memberikan jarak perjalanan sehingga 418km NEDC. Dari segi pengecasan, iCAUR 03 boleh mengecas dari 30% ke 80% dalam masa 30 minit dengan pengecasan jenis DC.

Antara perkara menarik tentang iCAUR 03 ini adalah penggunaan teknologi sendiri iaitu iCARE,iBRAND dan iROAD yang dapat memberikan gabungan sempurna antara keselesaan dan juga prestasi yang lasak

Untuk bahagian dalamannya, kelihatan sangat mewah dan canggih dengan skrin besar 15.6 inci dibahagian tengah dan digabungkan dengan sistem bunyi 12 speaker INFINITY. Selain itu, ia turut mempunyai ciri-ciri bantuan pemandu lanjutan ADAS tahap 2.5.

iCAUR 03 ini akan dijual pada tanda harga bermula RM145,000 untuk varian 2WD dan RM155,000 untuk varian iWD. Tambahan juga, tawaran eksklusif turut diberikan kepada pelanggan yang membuat tempahan di Malaysia Autoshow 2025 ini akan menerima model skala iCAUR 03 apabila anda menerima kereta ini pada suku ke-3 tahun ini.

Komen