Syarikat pembuat kereta tempatan, Perodua juga tidak mahu terlepas dari acara Malaysia Autoshow dengan memperlihatkan EV pertama mereka dalam keadaan separuh potong. Tujuannya adalah untuk menunjukkan kebolehan dari segi rekaan dan juga teknologi yang digunakan.

Menerusi kereta prototaip yang dipamerkan ini, ia memperlihatkan kebolehan Malaysia dalam membawa teknologi EV dengan cara tersendiri, menurut CEO dan Presiden Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Kereta EV yang dipamerkan merupakan episod terakhir untuk syarikat tempatan ini dalam membuat EV dengan memfokuskan kepada bahagian dalaman kereta prototaip itu. Di sini, kita dapat melihat dengan lebih dekat komponen-komponen yang digunakan dalam kereta ini seperti penggunaan bateri yang nipis dan lebih kecil.


Melihat pada rekaan, secara kasarnya ia kelihatan agak berbeza dengan eMO II yang dipamerkan di KLIMS pada December 2024 lalu. Prototaip ini nampak lebih garang dengan rekaan yang tajam di bucu. Lampu hadapan dan belakang yang lebih minimalis dan lebih moden.
Perodua sebelum ini pernah memberikan gambaran akan menawarkan bateri secara berasingan, dalam memastikan penawaran lebih baik untuk jangka masa panjang. Buat masa ini, pihak Perodua masih tidak berkongsi sebarang informasi berkaitan spesifikasi akhir yang bakal ditawarkan. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut berkenaan kereta elektrik pertama Perodua ini tidak lama lagi.