Carian
Zeekr 7X Tiba Di Malaysia – 3 Versi Dijual Harga Bermula RM182,000 Untuk 500 Pembeli Pertama
May 8, 2025 Amir Zaki

Zeekr secara rasmi telah mengumumkan ketibaan model SUV elektrik premium mereka ke pasaran tempatan dengan pelancaran Zeekr 7X, sebuah kenderaan yang bukan sahaja tampil bergaya dengan rekaan, tetapi juga dilengkapi dengan teknologi canggih yang bakal menggugat pasaran EV yang sedia ada.

Zeekr 7X menyokong sistem pengecasan berkuasa tinggi 800V yang membolehkan pengecasan ultra-pantas yang menjimatkan masa. Ini menjadikan pengalaman memiliki EV lebih praktikal, terutamanya bagi mereka yang sentiasa bergerak. Setakat ini, tiada maklumat tambahan yang diperoleh tentang spesifikasi Zeekr 7X ini sama ada ia sama atau tidak seperti yang dilancarkan di China.

Zeekr 7X dikatakan mampu memecut dari 0 ke 100 km/j hanya dalam 3.8 saat, suatu angka yang mengatasi kebanyakan kenderaan, tetapi hadir dalam bentuk sebuah SUV yang mampu memuatkan kira-kira 5 penumpang. Ini sekaligus menjadikan Zeekr 7X sebagai pilihan ideal bagi pengguna yang mahukan kuasa serta praktikaliti dalam satu pakej.

Yang dapat dipastikan, Zeekr 7X ini ditawarkan dalam tiga varian menarik yang memenuhi keperluan berbeza pengguna. Varian asas RWD Standard berharga RM182,000, sesuai untuk mereka yang mahukan keseimbangan antara prestasi dan nilai.

Sementara itu, RWD Long Range pada harga RM195,000 menawarkan jarak pemanduan lebih jauh bagi mereka yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh. Bagi yang mahukan kuasa maksimum dan pacuan semua roda, varian AWD Performance ditawarkan pada harga RM230,000. Kesemua harga ini merupakan tawaran eksklusif untuk 500 pembeli pertama sahaja.

Komen