Kereta elektrik (EV) Proton e.MAS 5 telah pun diperlihatkan di acara Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) di MAEPS, Serdang dengan ia adalah EV kedua mereka. e.MAS 5 membuat penampilan awam pertamanya di pameran ini sebelum akan dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun 2025 ini.

Rekaan eMAS5 ini dilihat berasaskan kepada Geely Geome Xingyuan. Di China, ia merupakan sebuah kereta EV hatchback yang hadir dengan dua pilihan bateri iaitu 30.12kWh dan 40.16kWh yang menawarkan jarak perjalanan antara 310 km dan 410 km mengikut piawaian CLTC. Pengecasan 30%-80% pula mengambil masa dalam 21 minit sahaja.

Tidak diketahui lagi, berapakah harga Proton e.MAS 5 yang akan rasmi dilancarkan di Malaysia dan adakah spesifikasi yang digunakan sama seperti Geely Geome Xingyuan yang dilancarkan di China. Mari kita nantikan apa yang bakal Proton tawarkan untuk kereta elektrik kedua ini.