Dua dekad lalu mempunyai palam kuasa dengan tiga port sudah boleh dianggap mencukupi. Tidak ada peranti yang perlu dicas seharian kerana Nokia 3210 hanya perlu dicas seminggu sekali. Di dunia moden, tiga port pengecas adalah tidak mencukupi dan penyelesaian yang wujud ialah dalam bentuk satu kepala pengecas yang boleh mengecas sekurang-kurangnya empat peranti serentak.
Pada Mac lalu, Anker Prime Charger (250W) dan Anker Charger (140W) memasuki pasaran Malaysia. Saya selepas menggunakannya selama tiga minggu saya rasakan tidak boleh kembali kepada sistem pengecasan yang digunakan sebelum ini.
Anker Prime Charger (250W)

SPESIFIKASI
Kuasa Maksimum | 250W GaN |
Skrin | 2.26″ LCD |
Port Sambungan | 4x USB-C 2x USB-A |
Piawaian Pengecasan | USB PD 3.1 USB PPS USB PowerIQ 4.0 |
Kuasa Input | 100-240V~, 3.5A, 50-60Hz |
Kuasa Output | USB-C1 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20/28 V, 5A – 140 W max USB-C2 :5/9/12/15 V, 3 A; 20V, 5A – 100 W max USB-C3 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20V, 5A – 100 W max USB-C4 : 5/9/12/15 V, 3 A; 20V, 5A – 100 W max USB-A1 : 5 V/3A, 9V/2A, 10V/2.25 A, 12V/1.5A – 22.5 W max USB-A1 : 5 V/3A, 9V/2A, 10V/2.25 A, 12V/1.5A – 22.5 W max |
Berat | 640 gram |
Aksesori disertakan | Kabel USB-C ke USB-C 240W |
Butang kawalan | Tombol berputar multi fungsi |
Harga Jualan | RM 699 |
Anker Prime Charger (250W) ialah pengecas GaN dengan 4x port USB-C dan 2x port USB-A. Empat port USB-C diletakkan di hadapan sementara dua lagi USB-A diletakkan pada sisi kanan. Walaupun mempunyai kuasa maksimum 250W, kuasa pengecasan tertinggi yang boleh dilakukan ialah 140W sahaja menerusi port C1. Port C2, C3 dan C4 masing-masing hanya boleh mengecas pada kuasa maksimum 100W. Dua lagi USB-A pula boleh mengecas pada kuasa maksimum 22.5W.

Tubuh pengecas diperbuat daripada logam dengan tekstur kasar. Di bahagian tapak terdapat dua kaki getah yang memastikan apabila diletakkan di atas meja, ia tidak mudah tergelincir. Sejak dua tahun kebelakangan ini terdapat trend pengecas dengan skrin LCD. Prime Charger (250W) juga dilengkapi skrin 2.26″ LCD di bahagian hadapan dengan ia berwarna tetapi tidak menyokong sentuhan.

Skrin multi fungsi ini akan memaparkan status pengecasan, kuasa pengecasan yang digunakan setiap port dan juga boleh memaparkan waktu seperti sebuah jam meja. Sekilas pandang Prime Charger (250W) memang kelihatan seperti sebuah jam meja kerana saiznya yang lebih kecil berbanding pengecas meja yang pernah saya ulas sebelum ini. Bukan sahaja ia lebih kompak dengan ukuran 106.2 × 40.2 × 92.5 mm tetapi ia juga ringan – hanya 640g – berbanding pengecas meja multi kepala lain di pasaran.

Terdapat satu tombol berputar multi fungsi diletakkan pada sisi kanan tubuh. Ia boleh digunakan untuk memilih port yang ingin dilihat kuasanya, menukar tetapan pengecas dan mengawal mod paparan skrin. Tombol yang sama juga boleh ditekan untuk memilih apa yang dipaparkan pada menu.
Ciri paling menarik dan tidak pernah saya temukan pada pengecas lain ialah sokongan tambatan WiFi. Apabila disambungkan kepada WiFi, Prime Charger (250W) boleh dikawal menggunakan aplikasi Anker. Penggunaan aplikasi ini akan saya terangkan secara lebih menyeluruh di bawah.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Pengalaman pengecasan adalah sangat memuaskan kerana terdapat pelbagai mod yang boleh dipilih. Mod pertama yang saya kerap gunakan di pejabat ialah “Dual Laptop Mode” memberikan kelebihan pengecasan jika mengesan dua komputer riba dicas secara serentak. Apabila sebuah MacBook Pro 16″ dan MacBook Air 13″ dicas, Prime Charger (250W) akan memberikan kelebihan kepada dua port USB-C yang disambungkan kepada komputer. Port lain akan dikurangkan kuasa sehingga pengecasan lengkap.

Mod “Port Priority Allocation” pula membenarkan pengguna memilih satu port yang sentiasa diberikan kelebihan. Maka jika lima lagi peranti disambungkan, port yang dipilih akan sentiasa menerima kuasa maksimum. Tanpa mod ini, kuasa 250W akan dibahagikan kepada kelima-lima port mengikut tetapan lalai sistem.

“Low Current Mode” merendahkan arus maksimum port pada pengecas. Ini ialah bagi mengelakkan bateri peranti mengalami kerosakan kerana dicas terlalu lama. Bercakap tentang dicas terlalu lama, pengguna boleh menetapkan timer untuk setiap port. Port akan dimatikan secara automatik mengikut masa yang ditetapkan secara manual.
Dengan sokongan WiFi yang saya sebutkan di atas tadi, saya juga boleh mematikan port menggunakan aplikasi walaupun ketika berjauhan daripada Prime Charger (250W). Pernah sekali saya terlupa mencabut pengecas di pejabat. Dari dalam kereta semasa dalam perjalanan pulang pengecas dapat dimatikan. Ini ialah ciri yang telah lama saya mahukan pada pengecas dan telah direalisasikan oleh Anker. Tubuh boleh dilakukan ialah tetapan manual kuasa maksimum setiap port menerusi “Custom Mode”.

Jika kesemua ciri di atas membuatkan anda pening kepala, jangan risau kerana terdapat “AI Power Mode” yang menguruskan output kuasa secara automatik mengikut situasi. Menerusi aplikasi saya juga boleh melihat graf penggunaan kuasa secara masa nyata, menukar grafik paparan jam, mematikan mod perayaan (dengan grafik khusus) dan melakukan kemas kini firmware.

Macam mana pula dengan pengecasan? Format yang disokong secara rasmi ialah USB PD, USB PPS dan USB PowerIQ 4.0.Bergantung kepada peranti, kuasa pengecasan maksimum adalah berbeza. Peranti Samsung boleh dicas sehingga 45W. iPhone boleh dicas sehingga 30W. Sistem SuperVOOC, Honor SuperCharge, Xiaomi Hypercharge dan FlashCharge pula hanya sehingga 45W walaupun peranti menyokong sistem pengecasan sehingga 120W.
Jadi pada ketika ini jika telefon anda menggunakan sistem pengecasan sendiri tidak berasaskan USB PD, kuasa maksimum menerusi Prime Charger (250W) tidak akan setinggi kepala pengecas yang diberikan oleh pengeluar. Satu isu saya dengan Prime Charger (250W) ialah ia menjadi agak panas apabila beroperasi. Saya melakukan kesilapan meletakkan telefon di atas pengecas ini dan ia menjadi panas sehingga tidak selesa dipegang.
KESIMPULAN
Mencari pengecas meja berkuasa tinggi dengan jumlah port yang banyak di rumah atau pejabat? Saya sarankan Anker Prime Charger (250W) kepada anda. Bukan sahaja ia menjadi hab pengecasan setempat yang terbaik pernah saya gunakan ia juga mempunyai ciri pintar boleh dikawal menerusi aplikasi. Pada harga RM699 sebuah ia memang jauh lebih mahal berbanding sistem pengecasan lain di pasaran tetapi ini ialah harga yang dibayar untuk ciri premium yang tidak ditemukan pada produk lain di pasaran. Ketika artikel ditulis, Anker Prime Charger (250W) ditawarkan pada harga promosi RM599 menerusi stor rasmi atas talian Anker.

PRO
- Kuasa output tinggi sehingga 250W.
- 6 port pengecasan membolehkan banyak peranti dicas serentak.
- Pelbagai mod pengecasan boleh dipilih.
- Pengecas boleh dikawal menggunakan WiFi.
- Rekaan kompak untuk kemampuannya.
KONTRA
- Tidak menyokong semua protokol pengecasan pantas.
- Agak panas ketika beroperasi.

Anker Charger (140W)
SPESIFIKASI
Kuasa Maksimum | 140W GaN |
Skrin | 2″ LCD |
Port Sambungan | 3x USB-C 1x USB-A |
Piawaian Pengecasan | USB PD 3.1 |
Kuasa Input | 100-240V~, 50 / 60Hz, 2.6A Max |
Kuasa Output | USB-C1: 9V⎓3A / 15V⎓3A / 20V⎓5A / 28V⎓5A (140W Max) ; USB-C2: 9V⎓3A / 15V⎓3A / 20V⎓5A / 28V⎓5A (140W Max) USB-C3: 5V⎓3A / 9V⎓3A / 15V⎓2.65A / 20V⎓2A (40W Max) USB-A1: 5V⎓3A / 9V⎓2A / 12V⎓1.5A / 10V⎓2.25A / 11V⎓3A (33W Max) |
Berat | 275 gram |
Aksesori disertakan | Tiada |
Butang kawalan | Butang kapasitif |
Harga Jualan | RM 349 |
Anker Charger (140W) pula ialah pengecas GaN mudah alih yang dilengkapi 3x port USB-C dan 1x port USB-A. Empat port pengecas diletakkan di bahagian sisi dengan output maksimum 140W boleh dicapai jika hanya satu sambungan USB-C dilakukan. Dua sambungan USB-C akan menghadkan kuasa ke 70W untuk setiap port. Keempat-empat port boleh digunakan serentak dengan prioriti kuasa diberikan kepada port C1.

Tubuh pengecas diperbuat daripada plastik dengan kemasan tidak berkilat membuatkan ia tidak mudah kotor. Sebuah skrin LCD sebesar sekitar 2″ diletakkan pada bahagian atas dengan sebuah butang kapasitif di sebelahnya.

Seperti pada Prime Charger (250W), skrin boleh memaparkan kuasa pengecasan setiap port, suhu pengecasan, dan jumlah jam ia telah digunakan. Jika tiada sambungan sebuh wajah emoji smiley akan dipaparkan pada skrin. Anker Charger (140W) walau bagaimanapun masih sekadar pengecas GaN biasa dimana tiada ciri tambahan sokongan aplikasi diberikan.

Pengguna boleh mengubah apakah maklumat yang ingin dipaparkan dengan menekan butang kapasifif sekali atau melakukan tatalan. Orientasi skrin juga boleh diubah dengan menekan butang selama sesaat. Ini ialah ciri yang baik kerana kepala tidak perlu dipusingkan jika paparan terbalik.
Sebuah lagi ciri menari yang disertakan Anker pada pengecas ini ialah pin serampang pengecas boleh dilipat seperti kepala pengecas Apple. Apabila dilipat pengguna tidak perlu risau ia akan patah apabila disimpan di dalam beg.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Pengalaman pengecasan adalah sekali lagi sangat memuaskan. Keempat-empat port boleh digunakan secara serentak cuma seperti telah dikatakan di atas kuasa pengecasan 140W kemudiannya dibahagikan kepada keempat-empat port. Setiap masa port C1 akan diberikan prioriti kuasa.

Format pengecasan USB PD 3.1 disokong dengan tiada isu menyokong MacBook Pro, Galaxy S24, powerbank 25000 mAh, iPhone 16 Pro Max dan pelbagai lagi peranti yang memerlukan pengecasan. Tetapi perlu kami nyatakan format pengecasan pantas seperti Xiaomi Hypercharge 120W, SuperVOOC 80W dan Honor SuperCharge 66W misalnya tidak disokong. Berdasarkan pengamatan kami Xiaomi 15, Oppo Find X8 dan Honor Magic V2 yang menyokong ketiga-tiga format ini dihadkan kuasa pengecasan puncak ke sekitar 45W sahaja.
Adalah kelaziman untuk pengecas GaN menjadi panas ketika beroperasi. Mereka yang berminat membeli dinasihatkan meletakkan pengecas ini di kawasan yang tidak mudah tersentuh kerana suhu boleh mencecah 50 darjah Celsius ketika beroperasi pada kuasa maksimum. Anda tidak akan melecur tetapi ia boleh membuatkan anda terkejut jika tersentuh.
KESIMPULAN
Banyak kuasa dan banyak juga port pengecasan kuasa. Inilah kesimpulan kami mengenai pengecas ini. Ia akan memenuhi keperluan majoriti pengguna yang memang mahu menggantikan kepala-kepala pengecas dengan hanya satu kepala sarwajagat khususnya jika ketika di luar rumah. Harga jualan ialah RM349 sebuah dengan ia kini ditawarkan pada harga promosi RM314 untuk tempoh terhad.

Kemampuan untuk melihat output kuasa secara masa nyata, suhu operasi dan serampang pin kuasa yang boleh dilipat ialah bonus membuatkan saya merasakan Anker Charger (140W) masih lagi berbaloi walaupun pada harga jualan yang cukup premium.
PRO
- Kuasa output tinggi sehingga 140W
- 4 port pengecasan membolehkan banyak peranti dicas serentak.
- Rekaan kompak serampang pin boleh dilipat.
- Skrin LCD memaparkan maklumat berguna dan boleh diubah orientasi.
KONTRA
- Tidak menyokong semua protokol pengecasan pantas.
- Agak panas ketika beroperasi.
