Spotify Perkenalkan Ciri Snooze Untuk Kawalan Cadangan Muzik
Amy Maizuraa
Spotify memperkenalkan beberapa ciri baharu bertujuan untuk meningkatkan kawalan pengguna terhadap muzik mereka.
Antara yang menarik ialah ciri Snooze yang membolehkan pengguna menyekat sementara lagu daripada cadangan selama 30 hari. Ia sesuai bagi mereka yang ingin berehat seketika daripada mendengar lagu tertentu. Ciri ini masih dalam ujian untuk pengguna Spotify Premium dan bakal diperluaskan kepada lebih ramai pendengar.

Selain itu, butang Hide kini berfungsi dengan lebih baik bagi memastikan lagu yang disembunyikan tidak akan muncul dalam senarai main di semua peranti. Hal ini memberikan pengalaman mendengar yang lebih seragam.
Fungsi Queue juga telah ditambah baik untuk pengguna Premium untuk membolehkan mereka mengawal lagu cadangan selepas giliran main tamat serta memberikan akses yang lebih mudah kepada butang Shuffle, Smart Shuffle, Repeat, dan Sleep Timer.

Spotify juga mengemas kini ruang pengurusan senarai main pada peranti mudah alih, membolehkan pengguna menyusun semula lagu, menukar tajuk, serta mencipta ilustrasi muka depan tersuai mengikut citarasa masing-masing.
Selain itu, butang Create+ kini terletak di sebelah kanan aplikasi bertujuan untuk memudahkan kawalan senarai main. Kemaskini juga memberikan akses kepada Jam, yang membolehkan pengguna mendengar muzik secara masa nyata bersama rakan, serta AI Playlist pula membolehkan pengguna menukar idea mereka kepada senarai main secara automatik.
[sumber] Spotify [/sumber]